PUTRAJAYA, 16 OKT: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang menyediakan garis panduan khas bagi memastikan pelaksanaan dasar berkaitan gaji minimum dan gaji pokok permulaan untuk graduan serta pekerja separa mahir, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, dapat dilaksanakan secara teratur.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata Garis Panduan Gaji Pokok Permulaan Berdasarkan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) itu akan menyediakan rujukan gaji pokok permulaan yang lebih komprehensif mengikut jenis pekerjaan dan tahap kelayakan.
Beliau berkata panduan gaji bagi kategori MASCO 1 hingga 3 dirangka berdasarkan hasil Kajian Graduan dan turut mengambil kira pandangan yang dikemukakan dalam beberapa sesi libat urus.
“Panduan gaji ini turut mengambil kira panduan gaji pokok permulaan berdasarkan Dasar Gaji Progresif (DGP) bagi melengkapkan panduan gaji untuk kategori MASCO 4 hingga 8,” katanya pada sidang media berhubung Perintah Gaji Minimum 2027 di sini, hari ini.
Bagi pekerjaan yang memerlukan kelayakan graduan, Ramanan berkata KESUMA mencadangkan penanda aras gaji bagi kategori MASCO 1 hingga 3, yang merangkumi graduan lepasan ijazah, diploma dan pemegang Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap 5.
Cadangan itu turut meliputi pemegang Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, yang akan dilaksanakan terlebih dahulu dalam bentuk garis panduan.
Bagi pekerjaan separa mahir pula, beliau berkata KESUMA akan menyelaraskan pendekatan berkenaan dengan Garis Panduan Gaji Pokok Permulaan Berasaskan Kemahiran, termasuk bagi pemegang SKM Tahap 1 dan 2.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan kerangka gaji pokok permulaan diperluas secara lebih menyeluruh, meliputi kategori MASCO 1 hingga 8.
Dalam perkembangan berkaitan, Ramanan berkata KESUMA sedang memperincikan mekanisme pemantauan pembayaran gaji pekerja menerusi modul e-Wages bagi memudahkan pemantauan dan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang perburuhan.
Beliau berkata mekanisme itu, antara lain, bertujuan memastikan pembayaran gaji dibuat mengikut kaedah yang ditetapkan di bawah Akta Kerja 1955, selain mengurangkan kes gaji tidak dibayar, dibayar lewat, tidak dibayar mengikut kadar sebenar atau dibayar pada kadar yang lebih rendah daripada gaji minimum yang ditetapkan.
“Mekanisme e-Wages ini akan dicadangkan untuk merangkumi semua pekerja, termasuk pekerja bukan warganegara,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau berkata KESUMA akan mengambil tindakan sewajarnya untuk meminda Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] dengan memasukkan elemen kelayakan pendidikan.
Langkah itu bertujuan membolehkan pembayaran gaji minimum kepada graduan diwajibkan pada masa hadapan, memandangkan akta berkenaan pada masa ini tidak mempunyai peruntukan khusus bagi penetapan gaji minimum berdasarkan tahap pendidikan.
“KESUMA menyasarkan supaya garis panduan ini diterbitkan dan dilaksanakan seiring dengan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum pada Jun 2027.
“Pendekatan ini akan menyediakan satu rujukan berpusat yang lebih jelas kepada majikan dan pekerja berhubung gaji pokok permulaan mengikut pekerjaan, kelayakan dan kemahiran,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 berkuat kuasa Jun 2027, yang dijangka memberikan manfaat kepada lebih empat juta pekerja.
Anwar dilaporkan berkata perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang mempunyai hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu itu bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan masing-masing.
Menurutnya, kerajaan turut akan melaksanakan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.







