KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Kajian impak pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menunjukkan 81 peratus pekerja di Lembah Klang melaporkan peningkatan prestasi kerja selepas pelaksanaan dasar itu, sekali gus membuktikan fleksibiliti bekerja mampu meningkatkan produktiviti.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Khairul Firdaus Akbar Khan berkata dapatan itu diperoleh menerusi kajian yang dijalankan di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang bagi menilai keberkesanan pelaksanaan AKF dalam kalangan pekerja dan majikan.
Di Johor katanya 77 peratus pekerja lebih produktif apabila diberikan kelonggaran menentukan waktu mula dan tamat bekerja, manakala 64.4 peratus responden melaporkan amalan bekerja dari rumah memudahkan pelaksanaan tugas.
Di Pulau Pinang pula, beliau berkata 77 peratus majikan melaporkan peningkatan kecekapan operasi selepas melaksanakan AKF.
“Pelaksanaan AKF bukan sahaja meningkatkan produktiviti pekerja, malah membantu meningkatkan kecekapan pasaran tenaga kerja, mengurangkan kos perjalanan termasuk petrol dan tambang pengangkutan awam serta menyokong keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan peribadi,” katanya.
Khairul Firdaus berkata demikian sebagai penjelasan berhubung isu keberkesanan dasar bekerja dari rumah (BDR) dan AKF yang dikemukakan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat), pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata AKF turut menyediakan fleksibiliti kepada lebih ramai individu, khususnya wanita, ibu bapa, penjaga ahli keluarga, warga emas yang masih produktif serta mereka yang mempunyai kekangan komitmen untuk terus kekal atau kembali menyertai pasaran pekerjaan, sekali gus menyokong usaha kerajaan meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh.
Di bawah pindaan Akta Kerja 1955 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023, katanya pekerja sektor swasta diberi hak memohon AKF menerusi Seksyen 60P dan 60Q, termasuk menentukan waktu kerja, hari bekerja atau tempat bekerja seperti bekerja dari rumah, tertakluk kepada pertimbangan majikan.
Beliau berkata bagi menggalakkan lebih banyak syarikat melaksanakan AKF, kerajaan menyediakan insentif potongan cukai sebanyak 50 peratus kepada majikan yang melaksanakannya, meliputi perbelanjaan latihan pekerja serta kos perolehan perisian bagi menyokong pendigitalan kaedah kerja.
“Insentif secara sekali beri itu boleh dituntut hingga RM500,000 melalui TalentCorp bagi tahun taksiran 2025 hingga 2027, tertakluk kepada syarat dan garis panduan ditetapkan,” katanya.








