SHAH ALAM, 29 SEPT: Malaysia memerlukan 25,000 tenaga kerja dalam bidang teknologi dan pengoperasian rel menjelang 2030, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Tenaga Manusia (JTM) sedang merangka kursus bersesuaian dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan angka itu dapat direalisasikan, lapor Berita Harian.
Jelasnya, jumlah itu berdasarkan jangkaan permintaan tenaga kerja yang tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang, lapor Berita Harian.
“Berdasarkan pandangan dan nasihat daripada pihak industri, pastinya setiap perancangan akan dilaksanakan bersesuaian dengan permintaan.
“Pembangunan rel bukan hanya mengenai landasan dan tren. Di sebalik setiap sistem rel moden, kita memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran untuk mengendalikan, menyelenggara dan memajukan teknologi.
“Apabila teknologi rel bergerak ke hadapan, kemahiran tenaga kerja juga mesti ke hadapan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) TVET Forum 2026, di Kuantan, hari ini.
Forum bertemakan Empowering TVET for Next Generation Rail Systems and Future Rail Technologies itu menjadi platform strategik yang menghimpunkan pembuat dasar, institusi TVET, industri rel, penyelidik serta rakan antarabangsa.
Forum itu memberi fokus kepada sistem rel masa hadapan, transformasi tenaga kerja, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) serta teknologi baharu dalam industri rel.
Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan industri, institusi TVET dan rakan antarabangsa bagi memastikan pembangunan kemahiran negara sentiasa selari dengan perubahan teknologi serta keperluan industri.
“Kerjasama yang diperkukuh melalui IMT-GT TVET Forum 2026 diharap dapat diterjemahkan kepada pembangunan bakat yang lebih tersusun, perkongsian kepakaran, peningkatan kompetensi tenaga kerja serta peluang pekerjaan,” katanya.







