KUALA LUMPUR, 21 OKT: Tokoh korporat Dr Wan Hasni Wan Sulaiman memuji keberanian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan kembali isu salah laku korporat yang didakwa berlaku sejak penghujung 1990-an, termasuk tindakan pihak tertentu menggunakan kedudukan dan kuasa untuk mengambil alih aset serta perniagaan.
Beliau yang juga pengasas syarikat Abrar Group International berkata langkah Perdana Menteri itu membuka ruang untuk meneliti semula ketidakadilan yang didakwa menimpa sejumlah tokoh korporat serta syarikat termasuk diri dan syarikatnya sejak hampir tiga dekad lalu.
Wan Hasni berpandangan kegiatan yang didakwanya berlaku itu bersifat sistemik dan memerlukan penelitian menyeluruh, termasuk terhadap kemungkinan penyalahgunaan instrumen perundangan serta institusi kerajaan bagi menekan pihak tertentu.
“Saya kena puji PMX (Anwar) yang cukup berani. Bahkan beliau hari ini membangkitkan kembali salah laku atau perbuatan kejam yang terjadi pada hujung 1990-an, di mana ramai yang dipaksa dengan ‘gunpoint’ untuk menyerahkan aset, syarikat, perniagaan, kontrak dan lain-lain kepada pihak yang terpilih.
“Bagi saya, apa yang telah terjadi, sedang terjadi, atau akan terjadi adalah sistemik. Sayugialah bagi saya pasukan petugas melihat keseluruhan isu secara sistemik, bukan sahaja kepada ‘isu-isu semasa’ iaitu apa yang disebut mafia korporat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pada sidang Dewan Rakyat semalam, Anwar mendedahkan kerajaan mewarisi sistem kurang telus menyebabkan pelbagai jenayah korporat dan manipulasi pasaran sejak 1980-an dan 1990-an gagal ditangani dengan berkesan, termasuk kes pengambilalihan syarikat serta institusi perbankan utama yang didakwa melibatkan campur tangan politik.
Perdana Menteri berkata kelemahan penguatkuasaan sebelum ini turut menyebabkan kes berprofil tinggi membabitkan kerugian berbilion ringgit tidak dikenakan tindakan sewajarnya, selain mendakwa kegiatan ‘mafia korporat’ berkenaan mempunyai kaitan dengan pengaruh pemimpin tertentu ketika itu.
Mengulas lanjut, Wan Hasni berkata usaha kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat jenayah korporat sebelum ini disifatkannya berfungsi untuk menyiasat dan mendedahkan dapatan, namun tidak mempunyai kuasa multak atau mandat untuk mendapatkan semula hak sivil individu yang sudah kehilangan atau rugi.
Mengimbas pengalamannya, Wan Hasni mendakwa Abrar Group kehilangan projek bernilai kira-kira RM6 bilion pada penghujung 1990-an, selepas beliau dipanggil bertemu kepimpinan kerajaan ketika itu.
Beliau mendakwa syarikat berkenaan telah membelanjakan sekurang-kurangnya RM70 juta bagi kajian kebolehlaksanaan, pelantikan perunding dan kajian kewangan berkaitan projek terbabit, namun tidak menerima sebarang bayaran balik selepas projek berkenaan dibatalkan.
Wan Hasni turut mendakwa usaha mendapatkan keadilan selama ini juga berdepan pelbagai kekangan perundangan, termasuk had masa untuk memfailkan tindakan sivil, kesukaran mendapatkan dokumen kerajaan serta halangan dalam membuktikan salah guna kuasa oleh pegawai awam.
Bagaimanapun, beliau menegaskan hasratnya membangkitkan kembali pengalaman itu bukan untuk mendapatkan pampasan kewangan, sebaliknya mahu pengakuan terhadap sebarang ketidakadilan yang pernah berlaku tidak berulang.
“Bagi saya, saya hanya mahu menutup lembaran sejarah yang sangat hitam dalam hidup saya. Bagi saya juga, walaupun saya tidak mendapat kembali walau satu sen pun, saya sudah lebih daripada berpuas hati.”
“Saya mahu ada pengakuan bahawa sebarang salah laku tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan tidak kira berapa lama masa telah berlalu, kesalahan itu mesti diperbetulkan,” katanya.







