Pelaburan di Hulu Selangor meningkat, tawar kerja bergaji tinggi

20 Jun 2026, 8:58 AM
Pelaburan di Hulu Selangor meningkat, tawar kerja bergaji tinggi

HULU SELANGOR, 20 JUN: Kemasukan pelaburan yang berterusan ke Hulu Selangor mula memberi limpahan manfaat kepada penduduk tempatan menerusi pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi serta pertumbuhan aktiviti ekonomi setempat.

EXCO Pelaburan dan Perdagangan Ng Sze Han berkata perkembangan itu membuktikan kejayaan menarik pelaburan bukan sekadar diukur melalui nilai yang direkodkan, sebaliknya perlu dilihat daripada peluang pekerjaan dan manfaat ekonomi yang dinikmati rakyat.

Menurutnya, Program Jaringan Perniagaan Tempatan (LBC) Hulu Selangor Siri 2 menjadi antara medium yang menghubungkan pelabur, usahawan tempatan dan pencari kerja bagi memastikan manfaat pelaburan dapat diterjemahkan secara langsung kepada komuniti setempat.

EXCO Pelaburan, Ng Sze Han bercakap kepada media selepas program Jaringan Perniagaan Tempatan (LBC) Hulu Selangor di Dewan Komuniti Serendah, Hulu Selangor pada 20 Jun 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kali ini membawa sebanyak 17 syarikat yang menawarkan 1,847 kekosongan pekerjaan. Apa yang lebih menarik, sebanyak 56.25 peratus jawatan yang ditawarkan menawarkan gaji permulaan melebihi RM2,500.

“Ini menunjukkan pelaburan yang masuk ke Daerah Hulu Selangor mampu menawarkan gaji lebih tinggi serta peluang pekerjaan berimpak tinggi kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program berkenaan di Dewan Komuniti Serendah, hari ini.

Orang ramai hadir ke Program Jaringan Perniagaan Tempatan (LBC) Hulu Selangor untuk mengambil peluang pekerjaan yang di tawar di Dewan Komuniti Serendah, Hulu Selangor pada 20 Jun 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Sze Han berkata sehingga pagi tadi, seramai 35 pencari kerja menghadiri sesi temu duga yang dianjurkan PERKESO dengan lima individu berjaya memperoleh pekerjaan.

“Saya percaya ini hanya permulaan dan kita akan memperoleh pencapaian yang lebih baik bagi siri kedua ini.

“Program seperti ini juga akan diteruskan di daerah lain kerana memberi impak positif kepada usahawan tempatan serta komuniti setempat,” katanya.

Beliau turut menegaskan kejayaan menarik pelaburan ke Selangor perlu dinilai berdasarkan kesan limpahan ekonomi yang terhasil kepada rakyat dan komuniti setempat, bukan semata-mata jumlah pelaburan yang berjaya dibawa masuk.

“Walaupun angka pelaburan penting sebagai petunjuk prestasi, apa yang lebih utama ialah kesan limpahan ekonomi yang terhasil daripada setiap pelaburan yang dibawa masuk.

“Kita mahu usahawan tempatan mendapat manfaat secara langsung melalui peluang projek, kontrak dan tempahan daripada syarikat yang melabur di Selangor,” ujarnya.

EXCO Pelaburan, Ng Sze Han bersama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato' Hasan Azhari Idris bergambar bersama rakan kerjasama program Jaringan Perniagaan Tempatan (LBC) Hulu Selangor di Dewan Komuniti Serendah, Hulu Selangor pada 20 Jun 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Menurut beliau, limpahan ekonomi itu penting bagi memperkukuh rantaian bekalan tempatan, merangsang pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.

Dalam pada itu, Sze Han berkata pendekatan pembangunan ekonomi negeri perlu disesuaikan mengikut kekuatan dan potensi setiap daerah bagi memastikan manfaat pelaburan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh dan mampan.

“Bagi Sabak Bernam, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pembangunan industri berasaskan agro dan eko-pelancongan yang mempunyai potensi besar untuk merancakkan ekonomi tempatan.

“Kita perlu membangunkan ekonomi di kawasan berkenaan, namun pendekatannya berbeza berbanding daerah lain. Fokus kita adalah kepada industri agro dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.

“Kita melihat perkembangan yang positif dan pelbagai program pembangunan ekonomi serta keusahawanan telah dilaksanakan bagi merancakkan pertumbuhan kawasan Sabak Bernam,” katanya.

EXCO Pelaburan, Ng Sze Han bersama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato' Hasan Azhari Idris membuat lawatan ke reruai Jaringan Perniagaan Tempatan (LBC) Hulu Selangor di Dewan Komuniti Serendah, Hulu Selangor pada 20 Jun 2026.Turut sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tau. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.