Polis tumpas sindiket dadah, rampasan bernilai RM2.4 bilion

9 Sep 2026, 5:59 AM
Polis tumpas sindiket dadah, rampasan bernilai RM2.4 bilion
Polis tumpas sindiket dadah, rampasan bernilai RM2.4 bilion
Polis tumpas sindiket dadah, rampasan bernilai RM2.4 bilion

KUALA SELANGOR, 9 SEPT: Polis menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah dengan rampasan dianggarkan bernilai RM2.4 bilion, selain membongkar sebuah makmal haram di Puncak Alam menerusi Ops Eumenes di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada 15 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata polis turut menahan tiga lelaki tempatan serta masing-masing seorang lelaki dan wanita warga asing, berumur 29 hingga 43 tahun menerusi enam siri serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Hasil serbuan itu, kita berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan anggaran 13.17 tan antaranya ganja, erimin 5, ketamin, yaba dan methamphetamine serta pelbagai mesin dan peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah di premis di kawasan perindustrian itu,” katanya dalam sidang media di sebuah kawasan perindustrian di Puncak Alam, di sini hari ini.

Hussein berkata nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM2.4 bilion, sekali gus dipercayai sebagai rampasan dadah terbesar tahun ini.

Beliau berkata sindiket yang dipercayai aktif sejak Februari lalu itu menggunakan modus operandi mendapatkan bekalan dan peralatan pemprosesan dadah yang dibawa masuk dari China sebelum diseludup ke Malaysia.

Di samping itu, beliau berkata polis turut menemukan sebuah kontena di dalam premis makmal dadah itu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan modus operandi sindiket membawa masuk bahan serta peralatan dari luar negara.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya percaya ketua sindiket berkenaan adalah seorang individu yang ditembak mati dalam satu serbuan di Seremban sebelum ini.

Katanya, individu berkenaan dipercayai menguruskan penyewaan premis, kemasukan bahan prekursor (sebatian kimia) dan peralatan dari luar negara selain merekrut ahli sindiket.

Media sebelum ini melaporkan, polis menumpaskan sindiket memproses dadah dipercayai Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM27.5 juta menerusi Operasi Thrips di daerah ini dan Kuala Lumpur pada 6 September lalu.

Hussein berkata dalam operasi jam 1.30 tengah hari itu, suspek utama seorang lelaki berusia 52 tahun ditembak mati di sebuah rumah teres di sini selepas bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah polis.

Mengulas lanjut, Hussein berkata seorang daripada warga Taiwan dipercayai berperanan sebagai pakar kimia dalam sindiket berkenaan dan telah memasuki negara ini sebanyak empat kali.

“Kita masih menyiasat kemungkinan wujud rangkaian sindiket ini di Taiwan dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata masih terdapat beberapa ahli sindiket yang belum ditangkap, termasuk seorang yang dipercayai telah melarikan diri ke luar negara, manakala siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan wujudnya bantuan orang dalam daripada mana-mana agensi lain.

“Kesemua suspek telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 21 dan 27 Ogos lepas," katanya.

Dalam pada itu, Hussein turut mendedahkan sindiket berkenaan dipercayai turut mempunyai kaitan dengan seorang mangsa kes culik di Selangor pada Julai lalu.

Pada 18 Julai lepas, media melaporkan polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang diculik dalam tempoh kurang 48 jam dan menahan enam individu termasuk seorang wanita dipercayai menuntut wang tebusan sebanyak RM7 juta dalam operasi khas di sebuah unit kediaman di kawasan i-City, Shah Alam, Selangor sebelum ini.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.