SHAH ALAM, 11 SEPT: Empat hingga lima lagi anggota sindiket yang dikaitkan dengan makmal pemprosesan dadah berskala besar di Puncak Alam, Selangor diburu polis dengan sebahagian mereka dipercayai melarikan diri ke luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata semua suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan.
“Kita sudah mengenal pasti mereka dan kita akan cari. Hanya soal masa sebelum kita berjaya mengesan mereka,” katanya, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan negara yang dipercayai menjadi destinasi pelarian suspek terbabit. Menurutnya, semua individu yang diburu mempunyai pembabitan terdahulu dalam aktiviti berkaitan dadah.
Usaha memburu suspek itu menyusuli siasatan terhadap sindiket yang dikaitkan dengan makmal pemprosesan dadah berskala besar di Puncak Alam sehingga membawa kepada rampasan dadah dianggarkan bernilai RM2.4 bilion.
Makmal terbabit dipercayai menghasilkan dadah bernilai berbilion ringgit sebelum kegiatannya terbongkar menerusi serbuan JSJN pada 15 Ogos lalu dalam Op Eumenes.
Dalam serbuan itu, polis merampas lebih 13 tan dadah jenis MDMA dalam bentuk cecair dan serbuk serta beberapa jenis dadah lain dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2.4 bilion.
Operasi itu merupakan sebahagian daripada enam serbuan serentak dan susulan di sekitar Selangor serta Kuala Lumpur selepas polis memperoleh maklumat risikan dan menjalankan pemantauan terhadap sindiket terbabit.
Antara rampasan ialah kira-kira 7.09 tan MDMA cecair dan 6.06 tan MDMA dalam bentuk serbuk.
Polis turut merampas 1.04 kilogram ganja, 880 gram pil Erimin 5, 180 gram ketamin, 150 gram pil yaba dan 50 gram methamphetamine.
Sebelum ini, seorang lelaki yang ditembak mati polis dalam operasi membanteras kegiatan dadah di Seremban dipercayai menjadi dalang utama di sebalik makmal berkenaan.
Siasatan mendapati lelaki itu mengetuai sindiket terbabit selain bertanggungjawab membawa masuk peralatan dari luar negara dan merekrut anggota sindiket lain.








