SHAH ALAM, 6 OKT: Lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Georgetown hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap anak majikannya minggu lalu.
Tertuduh berusia 71 tahun membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas sebelum memohon dibicarakan.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki berkenaan didakwa merogol remaja perempuan berusia 18 tahun di dalam tandas lelaki di tingkat dua sebuah pusat beli-belah di sini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 4.30 petang, 1 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa pada masa dan lokasi sama.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen manakala tertuduh diwakili peguam K Mahendran.
Pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan selain memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Pembelaan bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan memaklumkan tertuduh kini tidak mempunyai pekerjaan dan ditanggung anaknya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin warga Malaysia serta mengarahkannya melapor diri ke balai polis berdekatan pada setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 16 November depan sebagai tarikh serahan dokumen.
Media pada 2 Oktober lalu melaporkan seorang pekerja kedai makan berusia 71 tahun direman tujuh hari kerana disyaki merogol anak perempuan majikannya berusia 18 tahun di dalam tandas sebuah pusat beli-belah.







