Bapa rogol anak dipenjara 50 tahun, 24 sebatan

29 Jul 2026, 9:30 AM
Bapa rogol anak dipenjara 50 tahun, 24 sebatan

SHAH ALAM, 29 JULAI: Seorang lelaki berusia 47 tahun dihukum penjara 50 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Miri selepas mengaku bersalah atas lapan pertuduhan merogol anak kandungnya.

Hakim turut memerintahkan tertuduh membayar pampasan RM5,000 kepada mangsa dan sekiranya gagal berbuat demikian, akan dikenakan hukuman penjara tambahan enam bulan, lapor Berita Harian.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan kerana melakukan rogol sumbang mahram terhadap anak kandungnya.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang kini berusia 21 tahun hidup dalam penderitaan lebih sedekad apabila menjadi mangsa nafsu serakah bapanya sejak berusia sembilan tahun.

Siasatan mendapati, tertuduh melakukan perbuatan keji itu secara berulang kali dengan menggunakan ugutan dan kekerasan bagi memastikan mangsa tidak melawan serta tidak mendedahkan kejadian dialaminya kepada sesiapa.

Malah, mangsa pernah memberanikan diri memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarga ketika masih bersekolah.

Namun, laporan polis tidak dapat dibuat ketika itu berikutan ugutan dan kekerasan dilakukan tertuduh terhadap ahli keluarga mangsa sehingga mereka hidup dalam ketakutan.

Akibat trauma dan kawalan berterusan tertuduh, mangsa turut dipaksa berhenti sekolah ketika berada di Tingkatan Tiga sebelum terus hidup dalam ketakutan di bawah cengkaman bapanya.

Bagaimanapun, pada 5 Jun lalu kira-kira jam 8 malam, mangsa akhirnya berjaya melarikan diri dari kediamannya sebelum mendapatkan perlindungan daripada Tuai Rumah.

Tuai Rumah kemudian membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan, sekali gus membuka jalan kepada siasatan.

Bertindak atas laporan itu, polis menjalankan siasatan terperinci sebelum berjaya menahan tertuduh dan mendakwanya di Mahkamah Sesyen Miri.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.