Wanita dakwa dirogol jiran ketika baiki telefon bimbit

19 Sep 2026, 7:52 AM
Wanita dakwa dirogol jiran ketika baiki telefon bimbit

SHAH ALAM, 19 SEPT: Wanita berusia 19 tahun mendakwa dirogol jirannya selepas lelaki itu dibenarkan masuk ke rumah bagi membantu membaiki telefon bimbit miliknya.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata polis menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian yang didakwa berlaku di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Tawau, Selasa lalu.

Menurutnya, suspek lelaki warga tempatan berusia 26 tahun yang bekerja sebagai tukang gunting rambut ditahan susulan laporan berkenaan.

Suspek diberkas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 10 malam, Khamis lalu di kediamannya.

Rosdi berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam selepas mangsa membenarkan suspek masuk ke rumahnya untuk membantu membaiki telefon bimbit.

“Suspek kemudian dipercayai membawa mangsa ke bilik sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Suspek direman tujuh hari sehingga 25 September bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Rosdi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak membenarkan individu lain masuk ke rumah sesuka hati walaupun mereka merupakan jiran atau kenalan.

“Pastikan keselamatan diri diutamakan dan elakkan berada bersendirian dengan individu yang boleh menimbulkan risiko,” katanya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.