SHAH ALAM, 11 OKT: Semua sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Gombak dan Petaling Perdana kekal ditutup esok susulan perkembangan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek memaklumkan penutupan itu membabitkan semua sekolah di bawah tiga PPD berkenaan pada Isnin, 12 Oktober 2026.
Menurutnya, arahan sama turut melibatkan semua sekolah di Johor serta sekolah di bawah PPD Bangsar Pudu di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, sekolah di bawah PPD lain di Kuala Lumpur beroperasi seperti biasa.
“Sekolah di Melaka, Pulau Pinang, Putrajaya, Labuan, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak beroperasi seperti biasa,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan sekolah lain daripada pentadbiran PPD Hulu Langat, Gombak dan Petaling Perdana di Selangor dibenarkan beroperasi seperti biasa.
“Pihak sekolah yang terlibat diminta memaklumkan perkara ini kepada ibu bapa atau penjaga serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid sentiasa diutamakan,” menurut kenyataan itu.
JPN Selangor turut menasihatkan warga pendidikan dan ibu bapa supaya mengikuti pengumuman rasmi pihak berkuasa mengenai perkembangan kualiti udara serta status pengoperasian sekolah.
Maklumat lanjut berhubung operasi dan pembukaan semula sekolah akan diumumkan menerusi saluran rasmi Kementerian Pendidikan (KPM) dan JPN Selangor.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan keprihatinan terhadap keadaan jerebu yang menjejaskan kesihatan dan keselamatan murid serta warga sekolah.
Susulan keadaan itu, KPM mengumumkan penutupan institusi pendidikan di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi paras ditetapkan sebagai langkah melindungi keselamatan warga sekolah.
Pada 8 Oktober, JPN Selangor mengumumkan penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM di negeri ini mulai 9 Oktober sehingga dimaklumkan semula.
Sepanjang tempoh penutupan, sekolah yang terlibat diarahkan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi memastikan pembelajaran murid diteruskan.







