PRN Melaka: Machap Jaya jadi tumpuan, dua bekas EXCO bertembung

31 Okt 2026, 4:40 AM
PRN Melaka: Machap Jaya jadi tumpuan, dua bekas EXCO bertembung

ALOR GAJAH, 31 OKT: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (HARAPAN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang akan berlangsung 14 November ini.

Kerusi panas itu bakal menyaksikan persaingan sengit antara dua pemimpin yang pernah memegang jawatan EXCO kerajaan negeri, apabila penyandang Datuk Ngwe Hee Sem (BN), bakal dicabar oleh seorang lagi bekas penyandang Datuk Ginie Lim Siew Lin (HARAPAN) serta B. Prasanth Kumar (Bersama).

Senarai calon berkenaan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Machap Jaya, Muhammad Hamka Dollah di Pusat Penamaan Calon (PPC) Kompleks Japerun Machap Jaya di Bukit Bulat di sini selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi tadi.

“Setelah selesai disemak, saya telah memutuskan supaya tiada calon yang ditolak kertas penamaannya,” katanya.

Terdahulu, Lim menyerahkan borang pencalonannya pada 9.05 pagi, diikuti Prasanth Kumar pada 9.13 pagi dan Ngwe pada 9.19 pagi.

Kehadiran Lim mencuri tumpuan apabila diiringi tiga pemimpin parti berstatus menteri, termasuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang juga Ketua Setiausaha HARAPAN dan Menteri Dalam Negeri.

Turut hadir, Naib Presiden KEADILAN Datuk Seri R. Ramanan merangkap Menteri Sumber Manusia, Ketua Wanita KEADILAN Datuk Seri Fadhlina Sidek merangkap Menteri Pendidikan serta Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN Dr Maszlee Malik.

Ngwe diiringi Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon.

Lim pernah memenangi kerusi Machap Jaya pada 2018 dengan majoriti 1,336 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Koh Nai Kwong (BN) dan Wan Zahidi Wan Ismail (PAS).

Pada PRN Melaka 2021 pula, Ngwe memenangi kerusi berkenaan apabila memperoleh 3,732 undi menewaskan calon HARAPAN, Law Bing Haw dengan majoriti 938 undi dalam pertandingan lima penjuru, manakala Lim tidak bertanding ketika itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka dan pengundian awal pada 10 November.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.