ad

800 peserta semarakkan Hari Kebangsaan ke-68 di Bandar Botanik

2 Sep 2025, 11:30 AM
800 peserta semarakkan Hari Kebangsaan ke-68 di Bandar Botanik

KLANG, 2 SEPT: Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Bandar Botanik meriah dengan penyertaan lebih 800 peserta membabitkan 23 kontinjen terdiri daripada agensi kerajaan, persatuan kebajikan dan komuniti setempat.

Program tahunan anjuran Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Negeri (DUN) Sentosa itu turut menarik kehadiran ratusan penduduk sekitar bersama-sama menghayati makna kemerdekaan.

Perarakan berwarna-warni itu disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), persatuan penduduk serta Kesatuan Rukun Tetangga (KRT).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata sambutan kali ini menekankan kepentingan penglibatan generasi muda.

“Penyertaan golongan belia dalam perarakan menjadi simbol harapan agar semangat cintakan tanah air terus diwarisi dan diperkukuh dari satu generasi ke generasi seterusnya,” katanya.

Menurut beliau, sambutan itu juga membuktikan rakyat masih teguh menyokong semangat kemerdekaan serta menghargai kepelbagaian masyarakat.

“Perpaduan dan sikap saling menghormati adalah asas penting untuk Malaysia terus maju sebagai sebuah negara berbilang kaum,” tambahnya.

Sambutan di Bandar Botanik sekali lagi menjadi platform mengeratkan hubungan antara masyarakat dan agensi kerajaan. Dengan penglibatan meluas komuniti setempat, acara tahunan itu diyakini mampu menyemarakkan semangat Kita Semua Malaysia di hati rakyat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.