Pesta Chithirai Sentosa 2026 satukan komuniti, ribuan dijangka hadir

4 Mei 2026, 5:10 AM
Pesta Chithirai Sentosa 2026 satukan komuniti, ribuan dijangka hadir

KLANG, 4 MEI: Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa bakal mencetuskan kemeriahan budaya apabila buat julung kali menganjurkan Pesta Kebudayaan Perpaduan Chithirai Sentosa 2026 pada 10 Mei ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata program yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 7 malam itu menyasarkan kehadiran kira-kira 3,000 pengunjung, khususnya komuniti sekitar Bandar Sentosa.

Menurutnya, festival berkenaan menampilkan pelbagai aktiviti berteraskan warisan budaya masyarakat India termasuk persembahan tarian dan muzik tradisional, permainan tradisi, pameran budaya serta jualan makanan autentik.

Turut diadakan aktiviti kekeluargaan seperti pertandingan mewarna kanak-kanak bagi menarik penyertaan masyarakat setempat.

“Pesta ini bukan sekadar hiburan, tetapi platform penting untuk memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum di DUN Sentosa.

“Pendekatan melalui seni dan budaya mampu menyatukan komuniti tanpa mengira latar belakang, selain memelihara warisan untuk generasi akan datang,” katanya.

Program itu merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk gabungan badan bukan kerajaan (NGO), rumah ibadat India, sekolah serta sukarelawan.

Selain itu, beberapa agensi kerajaan turut serta menyediakan perkhidmatan komuniti seperti derma darah dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Bagi menambah tarikan, pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk motosikal, komputer riba dan telefon bimbit.

Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga bagi memeriahkan festival yang dijangka menjadi platform interaksi sosial sihat serta meraikan kepelbagaian budaya dalam suasana harmoni.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.