Oleh Zulzafry Zulkifly
Apa yang menjadikan sebuah cerita itu diingati? Adakah dengan watak, pembinaan dunia atau perjuangan mereka?
Pada abad sebelum ini, kita dikurniakan karya-karya perjuangan seperti karya Usman Awang, A Samad Ismail, Pak Sako, Chairil Anwar, Pram dan banyak lagi. Karya-karya ini dibaca ramai dan sesuai dengan zamannya yang mengajak menolak imperialisme barat.
Kini kita di zaman belia umumnya tidak membaca karya berat. Namun mereka masih punya sebuah kisah yang menganjur ke arah yang sama. One Piece, sebuah kisah pengembaraan sekumpulan lanun (lanun topi jerami) yang membantu setiap orang yang dijumpai menentang penindasan pemerintah (world’s government).
Di One Piece, pengarang memotret sebuah dunia di mana orang jahat berada di jalan yang benar sedang orang baik memperjuangkan penindasan dan ketidakadilan. Sebuah dunia fiksi yang menggariskan kebenaran terletak pada moral individu, bukan sebuah prinsip dan doktrin yang disumbat dalam kepala awam.
Melihat trend demonstrasi yang terjadi di dunia (Indonesia, Nepal, Filipina) mengingatkan saya kepada falsafah yang dipegang Zaheer daripada drama animasi Avatar: The Legend of Korra. Sabdanya: “Pembaharuan takkan lahir tanpa kehancuran segala yang kuno terlebih dahulu.”
Tidaklah saya menyokong perbuatan tersebut kerana Islam juga melarang berbuat kehancuran apatah lagi meragut nyawa. Namun persamaan antara rusuhan yang terjadi di negara-negara ini menarik minat saya sebagai seorang marhaen kerana ia menunjukkan sebuah kuasa yang dimiliki rakyat melawan penindasan.
Persamaan rusuhan-rusuhan ini yang pertama adalah skala kemusnahan yang terjadi iaitu sehingga mengakibatkan kematian dan kerosakan besar bukan setakat harta benda malah kemudahan awam. Kedua, yang paling menarik minat saya adalah dengan berkibarnya Jolly Roger milik lanun topi jerami daripada anime One Piece.
Bagaimana sebuah pemerintahan di dunia nyata boleh meruntuhkan tiang percaya rakyat sehingga sebuah simbol daripada karya fiksyen (ada yang menganggapnya hiburan kanak-kanak) Jepun dianggap sebuah simbol harapan. Malah sehingga Jolly Roger tersebut diharamkan pengibarannya.
Apa yang terjadi di Indonesia mungkin boleh dianggap persis apa yang Eiichiro Oda nukilkan dalam arc ‘Alabasta’, sebuah negara padang pasir. Kerajaan yang dikepalai pemerintah, Sir Crocodile sebagai ‘shichibukai’ ini berniat menggunakan ‘dance powder’ demi menjemput awan. Penggunaan ‘dance powder’ dilihat boleh mendatangkan faedah kepada mereka di bandar utama yang kebanyakannya ditempati oleh golongan pemerintah dan borjuis. Namun dampaknya dirasai oleh mereka yang tinggal di bahagian lain. Hujan yang sepatutnya turun di tanah mereka dicuri, menyebabkan penghuninya terus melarat menanti mati tanpa dipedulikan pemerintah.
Di Indonesia, hujan ini berupa gaji dan elaun (perumahan) yang turun atas jemala ahli dewan. Sedangkan rakyat terus kering kontang mengais makanan daripada nilai gaji minimal dan matawang rendah. Kemarahan mereka pula dimarakkan lagi oleh video tular yang memperlihatkan ahli-ahli dewan berjoget dan berpesta meraikan keputusan tersebut. Hal ini menampakkan bukan sahaja ketidakpedulian terhadap kemelaratan rakyat, malah ketegaran untuk bergembira atas kesengsaraan mereka. Maka mereka menyeru semangat topi jerami yang akhirnya mengalahkan pemerintah zalim dan menghancurkan semua milik pemerintah.
Seterusnya, di Nepal pula arc ‘Dressrosa’ mengambil tempat. Pada arc ini, rakyat yang mengetahui episod kelam kerajaan yang diterajui ‘Donquixote Doflamingo’ semuanya dibisukan. Doflamingo bertindak memotong lidah rakyat yang menentang dengan menukarkan mereka menjadi alat permainan dengan kuasa ‘devil’s fruit’ milik Sugar.
Tindakan pemerintah yang menutup akses kepada media sosial di Nepal dianggap sama kerana tujuannya demi menutup tengik korupsi mereka. Media sosial yang sebelum ini mereka gunakan, semua ditukar kepada mainan punah dan tak berguna. Maka itu, rakyat Nepal mengambil ibrah daripada arc ini lantas menyeru semangat topi jerami demi revolusi. Persis apa yang terjadi di Dressrosa, kehancuran skala besar turut berlaku di Nepal demi mengalahkan mereka yang bersemayam di tampuk pemerintahan.
Manakala di Filipina, tunjuk perasaan dipicu isu rasuah dalam kalangan pemerintah. Paling dekat, mungkin ia sama dengan Nami di arc ‘Arlong Park’ yang dijanjikan kebebasan Cocoyashi (tempat tinggalnya). Namun selepas dilunaskan bayaran, wang itu pula disalurkan ke pihak Marine demi menghalang campur tangan mereka terhadap eksploitasi Arlong ke atas Cocoyashi. Di akhir arc, golongan manusia ikan Arlong ini akhirnya ditumpaskan oleh Luffy dan krunya. Lihat persamaan?
Andai mengikut kronologi One Piece, selepas Dressrosa adalah arc Zou, diikuti Whole Cake Island dan seterusnya Wano, sebuah negeri samurai yang dijarah kekayaannya oleh Yonkou Kaido. Jikalau ada sebuah lagi negara selepas Filipina yang memenuhi Arc ini, alangkah indahnya jika ia bertempat di Palestin. Mungkin semangat Luffy boleh membebaskan Palestin dari kancah perang dan penindasan. Mungkin juga inilah arc Wano yang ditunggu semua orang dengan klimaksnya: kemunculan seorang dewa kebebasan, Nika dan kekalahan seorang Yonkou N********.
Namun apa yang penting di sini, adalah kebangkitan rakyat yang kebanyakannya terdiri dari generasi muda yang percaya sebuah penindasan itu boleh dibasmi dengan tangan mereka sendiri. Mereka yang sebelum ini hanya diam di kamar menonton anime akhirnya turun ke jalanan menentang cengkaman penindasan. Antara pemicunya adalah suntikan cerita perjuangan seorang lanun.
Andai itu yang kita perlukan untuk memperoleh kebebasan, pada saya apa salahnya menjadi lanun yang jujur dan menolak penindasan. Lanun yang sanggup terluka demi membebaskan tanah nakama (sahabat) mereka. Memetik sabda masyhur Doflaminggo:
“Lanun itu kejam? Marin itu jujur? Terma ini acapkali berubah seiring peredaran zaman…” (hingga akhir kalam.)
Generasi kini mungkin tak kenal Leman, Wahab, Hashim, apatah lagi membaca puisi perjuangan Tongkat Warrant. Tapi mereka masih punya lanun yang perjuangkan kebebasan, soldadu yang meratib ‘tatakae’ dan hokage yang melindungi rakyatnya. Cerita-cerita animasi ini diingati bukan sahaja kerana aksi, pembinaan dunia dan watak tapi dek turut menjadi simbol harapan dan perjuangan buat ramai pembaca.
Pada saya, inilah hierarki tertinggi sebuah cereka: diingati sebagai harapan golongan marginal.