Aqilah yang Masih di Situ

9 Mei 2026, 12:30 AM
Aqilah yang Masih di Situ

Oleh Zulzafry Zulkifly

Ilustrasi Muizzah

Anda masih ingat tentang Aqilah? Ah, anda juga pasti sudah melupakan wanita renek bermata bundar berpipi tembam berbadan bugar itu. Anda pasti sama sahaja dengan warga Kota Lhama yang lain.

Memang sejak kewujudan tasik di pinggir Kota Lhama itu, ingatan tentang Aqilah seakan-akan dipadam dari benak setiap warga kota. Pihak berkuasa telah awal-awal memberi kenyataan bahawa mereka tidak ada kena-mengena dengan tasik yang tiba-tiba muncul di pinggir kota itu. Tiada empangan pada mana-mana sungai dibuat. Tidak juga tasik itu berasal daripada perlombongan timah.

Hairanlah pakar geologi dengan kemunculan tasik itu. Kota Lhama sudah lama tidak bermandi hujan. Musim panas ini mungkin akan terus menggigit untuk beberapa bulan ke hadapan. Begitu laporan dan jangkaan meteorologis. Jadi dari mana punca air yang menakung tasik ini?

Sejak kewujudannya sampai ke pengetahuan warga kota, ramailah yang datang berbondong-bondong. Ada yang berkereta, ramai yang berkonvoi menunggang motorsikal, segelintir datang berbasikal, malah ada juga sekumpulan penunggang kuda yang datang ke tasik itu sementelah khabar tersebar bahawa sebuah kawasan tidak jauh dari tasik itu sangat sesuai untuk kuda meragut rumput.

Mereka datang dalam kumpulan besar, berkeluarga dan berkawan-kawan. Kawasan pinggir tasik pula sangat sesuai dijadikan tapak berkelah. Maka setiap hujung minggu, memang kawasan itu akan kelihatan seperti papan-papan catur pancawarna yang berselerak dek tikar-tikar bermotif kotak-kotak terhampar di sekelilingnya.

Mereka membawa juadah yang sudah siap dimasak dari rumah. Ada juga yang membawa makanan mentah untuk dimasak di pinggir tasik. Sementara menanti hidangan siap, anak-anak dan para lelaki pula mengambil kesempatan untuk terjun ke dalam tasik, merasai kedinginan lazuardi nan indah itu.

Malangnya, tiada seorang pun daripada pengunjung yang mengingati apa yang terjadi di Kota Lhama sebelum kewujudan tasik tersebut. Tiada sesiapa lagi yang peduli dari mana tasik ini wujud, air apa yang bertakung menjadi tasik ini, apatah lagi bahaya yang tersimpan di dasarnya. Tiada sesiapa yang peduli tentang semua ini. Apatah lagi tentang Aqilah. Memang tiada sesiapa pun yang ingat!

Anda pasti salah seorang daripada kerumunan itu, bukan?

Tapi, Aqilah masih ada di situ. Duduk jauh daripada kumpulan manusia. Hanya berdiam diri tidak berbuat apa-apa menonton kerenah pengunjung tasik.

Setelah empat minggu lamanya tasik menerima jumlah pengunjung yang ramai, tersebarlah pula pengakuan oleh beberapa pengunjung bahawa sakit-sakit mereka sembuh asbab mujarab air tasik.

“Pagi itu selepas saya bangun, semua sakit di dada sudah hilang! Kata doktor, sakit hati yang selama ini saya deritai sudah sembuh seratus peratus!” - Rosmah, 46 tahun. Menurut keterangannya, dia hanya mencelup kaki sehingga paras keting buat membersihkan debu tanah yang melekat.

“Luka terbelah di lidah saya sudah sembuh sepenuhnya. Macam ada pari-pari datang menjahit lidah saya ketika saya tidur. Barangkali kerana saya tersedak sewaktu mandi bersama cucu di tasik itu,” - Dato Selamat, 60 tahun. Beliau Ketua Kampung Baharu, sebuah desa yang tidak jauh dari tasik.

“Ini satu keajaiban! Aku boleh melihat matahari semula! Setelah kencing manis meragut penglihatan sekian lama, mataku kembali cerah. Rasa macam muda-muda dahulu. Tak sabar rasanya mahu lihat realiti dunia. Banyak sudah aku ketinggalan,” - Kassim, 40 tahun, seorang penderita kencing manis kronik. Beritahunya, dia tidak ke dalam tasik pun. Hanya baju basah anaknya yang mandi di tasik dipegang untuk dibawa pulang.

“Kuda saya sebelum ini sudah nazak! Saya bawa ke sana hanya untuk jadikannya tunggangan terakhir. Tapi kini ia sudah boleh berlari. Kencang pula tu. Bolehlah ia kembali berlumba,” - Hassan, 33. Seorang penunggang kuda untuk lumba nombor ekor.

Dan juga beberapa orang lain yang membuat pengakuan. 

Anda bagaimana? Apakah sakit lama anda yang sudah terubatkan oleh tasik itu?

Sejak tersebarnya cakap-cakap sedemikian, kian ramailah orang yang datang ke tasik pinggir kota. Ada yang menganggapnya sebagai tasik suci. Beberapa ritual keagamaan berjalan pada pagi hari, melibatkan beberapa orang mandi dengan hanya bercawat di gigi tasik. Pada malamnya pula, sekumpulan manusia akan melakukan pemujaan berupa tarian, penyerahan korban berupa makanan dan haiwan mati. Ada juga yang mengambil air itu untuk dibawa pulang, diberikan kepada ahli keluarga yang sekarat dan sakit, diminum, dibuat mandi, dibuat rendam kaki dan ada juga yang meletakkannya di dalam kantung kecil dijadikan tangkal. Tidak ketinggalan, segelintir kapitalis mengambil kesempatan untuk menjualnya di pasar malam di tengah Kota Lhama. Laris keras!

Harapnya anda tidak terlibat dengan hal tahyul-mahyul ini. Atau anda sudah mula terpengaruh?

Aqilah tetaplah juga di situ jauh di belakang manusia yang melupakannya. Menyimpan segala rahsia kemunculan tasik. Dia memerhatikan semuanya dan membiarkan saja. 

Sedikit demi sedikit paras tasik kian dangkal dek terlalu banyak yang diceduk dan diteguk. Lazuardi warna tasik sehari demi sehari bertukar hijau lumut. Tidak lama kemudian ia bertukar perang berkeladak. Hingga suatu hari, kontanglah tasik itu dan warga kota mula dilanda resah. 

Dan Aqilah tidak peduli walau sedikit pun. Warga kota memang begitu.

Dia masih ingat peristiwa yang merobek hidupnya. Manakan mungkin dia lupa! Suami yang dia sayangi bertemu ajal oleh kecuaian pemandu mabuk. Seminggu lamanya dia meraung berjujuran air mata. Warga kota pun sama juga. Orang datang ke rumahnya tidak putus-putus berkongsi duka dan air mata. 

Jiran hadir berkongsi simpati, warga kota datang mempamer solidariti. Wajahnya yang sembap dengan pelupuk yang masih menakung air mata terpampang di mana-mana penjuru kota, di media cetak dan media sosial. Orang-orang turun ke jalanan menuntut balasan kepada nyawa yang hilang. Ahli politik menunggang isu membangkitkan kelemahan pentadbiran dan kepincangan undang-undang. Walikota dan kabinetnya turun padang melawat teratak Aqilah dan memberikan bantuan kewangan dan bekalan makanan.

Seminggu lamanya orang datang ke rumahnya. Masing-masing menumpahkan air mata. Tapi Aqilahlah yang paling lama menanggung duka. Dia menangis sahaja siang malam pagi petang sambil sedikit-sedikit ditemani orang yang datang.

Air mata yang banyak itu terus mengalir ke pinggir kota melahirkan sebuah tasik. Air itulah yang mereka teguk dan buat berendam. Air itulah yang menyembuhkan kegersangan hati mereka, mencelikkan buta mata mereka, menyambung semula lidah mereka yang terbelah.

Tapi Aqilah sudah puas menangis. Biarlah warga kota melupakannya terus, biarlah. Dia sudah terima takdir. Biarlah warga kota tercari-cari tasik yang mereka gilakan itu, biarlah. Selepas ini, jika mereka mahu solat hajat minta turun hujan, mahu beramai-ramai terjun ke mangkuk tasik itu pun, silakan. Dia tidak mahu lagi peduli.

Aqilah ini pun bukan yang pertama. Barangkali sebelum ini namanya bukan Aqilah. Mungkin Hasanah, mungkin Karmila atau sependek Nor. Mungkin Aqilah sebelum ini seorang jejaka. Ceritanya pula rencam. Mungkin Aqilah yang dikerat tujuh, mungkin Aqilah yang hilang sepuluh tahun lalu, mungkin Aqilah yang jatuh bangunan. Mungkin, mungkin, mungkin. Buat apa disenaraikan panjang-panjang kalau warga kota hanya peduli pada tasik sahaja.

Apa? Tasik itu sudah penuh semula? Aqilah mana pula yang menangis kali ini? Ha? Anda tidak ingat?


Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.