HARAPAN kekal fokus laksana amanah rakyat, hormati kuasa pengampunan diraja

10 Sep 2026, 12:45 PM
HARAPAN kekal fokus laksana amanah rakyat, hormati kuasa pengampunan diraja

PUTRAJAYA, 10 SEPT: Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu kekal fokus melaksanakan amanah yang diberikan rakyat dan tidak mengambil sikap ‘defeatist’ selagi tempoh pentadbiran masih berbaki kira-kira setahun.

Pengerusi Majlis Pimpinan HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata isu berkaitan pandangan pemimpin parti mengenai kedudukan dalam Kerajaan Persekutuan sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat pengampunan diraja telah dibincangkan secara mendalam.

Menurutnya, setiap pandangan yang dikemukakan perlu dihormati, termasuk suara daripada akar umbi, namun tumpuan utama ketika ini adalah memastikan amanah yang diberikan rakyat dapat dilaksanakan sebaiknya.

“Perkara ini telah dibincangkan dengan mendalam dan kita perlu menghormati pandangan akar umbi.

“Namun, kita diberi tanggungjawab kerana jumlah kita paling tinggi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. Kita sudah melaksanakan tanggungjawab itu dengan membawa kejayaan ekonomi dan mengekalkan kestabilan ketika berdepan krisis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan Negeri Selangor 2027 di Hotel Le Meridien, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, tempoh pentadbiran yang masih berbaki kira-kira setahun perlu dimanfaatkan untuk melengkapkan amanah dan menyampaikan hasil terbaik kepada rakyat.

Katanya, mengambil sikap ‘defeatist’ ketika tempoh perlawanan masih belum berakhir bukan satu keputusan yang bijak.

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata HARAPAN tidak pernah mempertikaikan kuasa pengampunan Diraja dan menghormati autoriti Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu dalam perkara berkenaan.

Beliau berkata tiada pertikaian mengenai kuasa tersebut dibangkitkan pihaknya, sebaliknya HARAPAN memahami dan mengakui bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu.

“Tiada pertikaian yang kita bangkitkan. Kita faham bahawa Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja mempunyai wewenang dan memiliki autoriti penuh untuk memberikan pengampunan.

“Perkara itu memang telah diperakui dan tidak pernah disentuh,” katanya.

Menurut Amirudin, perkembangan berkaitan institusi diraja di beberapa negeri, termasuk perubahan sultan atau raja, tidak mengubah pendirian HARAPAN terhadap kuasa pengampunan diraja.

Katanya, HARAPAN juga tidak menghalang sebarang sidang Lembaga Pengampunan yang dikatakan bakal berlangsung, sebaliknya hanya mengemukakan pandangan berhubung perkara berkenaan.

“Kalau ada sidang pengampunan yang dikatakan akan berlangsung, kita tidak menghalangnya. Cuma ada pandangan-pandangan yang dikemukakan,” ujarnya.

Semalam, media melaporkan Setiausaha UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa HARAPAN mula menyerlahkan ‘warna sebenar’ gabungan itu yang didakwa beberapa kali meremehkan dan mempertikaikan institusi Raja-Raja Melayu demi kepentingan politik.

Beliau turut melahirkan kekesalan terhadap kenyataan Majlis Setiausaha HARAPAN yang didakwa seolah-olah mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, selain menyifatkannya bertentangan dengan prinsip serta syarat yang dipersetujui bersama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Isu berkenaan timbul susulan persoalan mengenai pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, termasuk pendirian HARAPAN berkaitan hukuman terhadap pesalah rasuah dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Sementara itu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) dijangka bermesyuarat esok bagi mempertimbangkan, antara lain, permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan berhubung sabitan kesalahan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.