Polis tahan tujuh individu termasuk suami isteri disyaki edar dadah

6 Ogos 2026, 7:24 AM
Polis tahan tujuh individu termasuk suami isteri disyaki edar dadah

IPOH, 6 OGOS: Polis menahan tujuh individu termasuk pasangan suami isteri kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak Jun lepas menerusi empat serbuan di sekitar Ipoh dan Tapah.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata suspek termasuk dua wanita berusia 22 hingga 44 tahun ditahan dari 12.30 tengah malam hingga 3.05 pagi Selasa lepas.

Beliau berkata empat suspek lelaki ditahan di sebuah pusat hiburan di Ipoh dan pemeriksaan menemukan dadah jenis ketamin seberat 24.14 gram dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 574.81 gram.

“Soal siasat terhadap tiga lagi suspek pada serbuan kedua membawa kepada serbuan di dua rumah di Tapah dan menemukan MDMA dengan anggaran berat 2.6 kilogram serta ketamin 13.74 gram,” katanya.

Mohd Alwi berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Taiping di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM538,451 selain turut dirampas tiga kenderaan bernilai RM224,000 dan wang tunai RM32,376.

Beliau berkata sindiket itu menjadikan pusat hiburan sebagai tempat penjualan dadah dengan dadah tersebut boleh digunakan 23,332 orang.

Selain itu, Mohd Alwi berkata dua suspek didapati positif dadah amphetamine dan methamphetamine manakala enam mempunyai rekod jenayah lampau.

Semua suspek direman antara tiga dan empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada majlis itu, ACP Mohd Ridzuan Nor Ihsan dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak yang baharu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Superintenden Mohd Ariffridzuan Ezahar menyerahkan tugas kepada ACP S. Saravanan yang sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda.

-- BERNAMA

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.