Konsep ketaatan dalam rumah tangga perlu difahami secara menyeluruh. Ketaatan bukan bermaksud seseorang ada kuasa mutlak terhadap pasangannya hingga boleh menafikan hak, kebebasan yang diiktiraf syarak dan maruah manusia.
Sebaliknya, ketaatan sebahagian usaha kedua-dua pihak membina kehidupan yang diredai-Nya. Allah SWT berfirman:
“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis kamu sendiri supaya kamu berasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah al-Rum, ayat 21)
Ayat ini meletak asas penting hubungan suami isteri. Tujuan perkahwinan bukan menentukan siapa berkuasa, siapa mesti menurut tetapi mewujudkan ketenangan, kasih sayang dan rahmat.
Perkataan mawaddah menggambarkan kasih sayang yang dizahir manakala rahmah merujuk belas kasihan yang mendorong seseorang menjaga pasangannya khususnya ketika dalam lemah, sakit atau menghadapi kesukaran.
Justeru, ketaatan atas dasar ketakutan, penghinaan dan paksaan bercanggah semangat rumah tangga. Ketaatan lahir dari kesedaran terhadap amanah, penghormatan terhadap pasangan dan keinginan bersama untuk mentaati Allah.
Islam mengiktiraf kepimpinan suami. Allah SWT berfirman:
“Kaum lelaki itu ialah pemimpin dan pemelihara yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.” (Surah al-Nisa’, ayat 34)
Istilah qawwamun membawa pengertian tanggungjawab memelihara, mengurus dan menunaikan kewajipan terhadap keluarga dan tidak wajar difahami sebagai lesen menindas atau menguasai isteri sesuka hati.
Kepimpinan suami berkait rapat kewajipan nafkah, perlindungan dan pengurusan keluarga.
Semakin besar tanggungjawab, semakin besar amanah. Kepimpinan dalam Islam bukan kemuliaan yang terpisah dari kewajipan tetapi kedudukan yang akan dipersoal oleh Allah SWT.
Ketaatan kepada suami sebahagian hak perkahwinan, khususnya perkara makruf dan berkaitan hak rumah tangga.
Namun, perinciannya perlu difahami berdasarkan nas serta perbahasan fiqah, bukan mengikut budaya atau kehendak peribadi. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya ketaatan itu hanyalah dalam perkara yang makruf.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini prinsip penting dalam memahami ketaatan. Tiada ketaatan dalam perkara melanggar perintah Allah.
Suami tidak berhak menuntut isterinya melakukan maksiat, meninggalkan kewajipan agama atau melakukan sesuatu yang diharamkan atas alasan dirinya ialah suami.
Istilah ketaatan tidak boleh digunakan untuk menghalalkan keganasan, penghinaan atau kemudaratan. Hak dan kewajipan suami isteri perlu ditimbang berdasarkan keseluruhan prinsip syariah termasuk keadilan, ihsan dan larangan melakukan kezaliman.
Perbincangan tentang ketaatan tidak harus menumpukan kewajipan isteri. Islam menegaskan suami wajib melayani isteri dengan baik. Allah SWT berfirman:
“Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri kamu) secara makruf.” (Surah al-Nisa’, ayat 19)
Perintah ini menunjukkan hubungan suami isteri mesti berasaskan layanan baik, pertimbangan adil dan penghormatan terhadap maruah pasangan.
Suami bukan sekadar dituntut memberi nafkah, tetapi menjaga perasaan, mengelakkan penghinaan dan membina suasana selamat. Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku ialah orang yang paling baik terhadap keluargaku.” - al-Tirmizi (3895)
Hadis ini meletak ukuran kebaikan seseorang bukan cuma ibadah tetapi cara melayani keluarga. Seseorang mungkin baik di luar rumah tetapi jika kasar, zalim dan merendahkan isterinya, akhlaknya perlu diperbaiki.
Kepimpinan suami bukan diukur melalui sejauh mana isteri takut kepadanya tetapi sejauh mana melaksanakan amanah dengan adil dan penuh ihsan.
Teladan Rasullulah
Aisyah pernah ditanya pekerjaan Rasulullah SAW berada di rumah. Beliau menjawab:
“Baginda sentiasa membantu keluarganya.” - al-Bukhari (676)
Riwayat ini memberi gambaran Baginda tidak menjadikan kedudukan suami sebagai alasan melepaskan diri dari urusan rumah tangga. Nabi membantu keluarga dan tidak menjadikan tugas domestik sebagai perkara menjatuhkan martabat seorang lelaki.
Teladan ini penting dalam memahami hubungan antara kepimpinan dengan khidmat. Seorang suami yang baik tidak hanya mengharapkan layanan isteri, bahkan menyumbang tenaga, masa dan perhatian.
Isteri juga dituntut menjaga amanah perkahwinan, memelihara kehormatan diri dan keluarga serta bekerjasama dengan suami dalam perkara baik. Kedua-duanya ada peranan berbeza dalam sesetengah perkara tetapi perbezaan itu tidak menghapus kewajipan untuk saling menghormati.
Generasi salaf soleh memahami agama bukan sekadar himpunan tuntutan terhadap orang lain, tetapi amanah yang perlu dilaksanakan diri sendiri. Dalam tradisi ilmu Islam, pesanan kepada suami supaya berbuat baik kepada isteri dan sebaliknya dibincang bersama-sama.
Al-Quran mengingatkan wanita ada hak seimbang dengan kewajipan mereka menurut cara yang makruf. Allah SWT berfirman:
“Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipan mereka menurut cara yang makruf.” (Surah al-Baqarah, ayat 228)
Ayat ini tidak bermaksud semua hak suami dan isteri sama dalam setiap perincian tetapi menegaskan hubungan itu ada timbal balik hak dan kewajipan. Hak seseorang tidak boleh dibincang terpisah daripada tanggungjawab yang perlu ditunaikannya.
Antara teladan generasi awal Islam ialah amalan Rasulullah SAW. Baginda melaksanakan tanggungjawab keluarga, membantu urusan rumah dan mengajar umat supaya berakhlak terhadap pasangan.
Oleh itu, dakwaan suami mesti dilayani tanpa perlu melayani isterinya tidak selari teladan nabi.
Antara kesilapan dalam rumah tangga ialah menjadikan agama sebagai alat memenangkan kehendak sendiri. Suami menyebut kewajipan taat tetapi mengabai nafkah dan layanan baik.
Isteri pula menuntut hak tanpa mempertimbang tanggungjawabnya. Kedua-dua keadaan ini menunjukkan perbahasan tentang hak tidak boleh dipisahkan daripada amanah.
Jika ada perselisihan, pasangan perlu mengutamakan perbincangan, kebijaksanaan dan rujukan kepada orang berilmu. Bukan setiap permintaan suami wajib ditaati.
Bukan setiap ketidaksetujuan isteri dianggap derhaka. Penentuan hukum bergantung keadaan, jenis tuntutan, hak dan prinsip syarak.
Jika berlaku kezaliman atau kemudaratan, pihak terjejas berhak mendapat perlindungan melalui saluran sesuai. Kesabaran dalam Islam bukan bermaksud membiar kezaliman berterusan tanpa memperbaikinya.
Konsep ketaatan suami isteri perlu difahami melalui keseimbangan antara hak, kewajipan dan akhlak.
Isteri dituntut menunaikan hak suami dalam perkara yang diiktiraf syarak, manakala suami wajib melaksanakan tanggungjawab kepimpinan, nafkah dan layanan baik terhadap isteri.
Kedua-duanya terikat dengan prinsip lebih tinggi iaitu ketaatan kepada Allah SWT. Tiada hak manusia boleh dijadikan alasan melakukan maksiat atau kezaliman.
Rumah tangga yang baik bukan seorang pemberi arahan dan seorang menurut tetapi setiap pihak memahami amanah, menghormati hak pasangannya dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah.
Ukuran kejayaan perkahwinan bukan sejauh mana seseorang menguasai pasangannya tetapi sejauh mana mereka menunaikan amanah, mengekal kasih sayang dan bersama menuju keredaan-Nya.







