Majlis perkahwinan berlangsung sehari, tetapi kehidupan sebagai suami isteri membawa komitmen yang perlu ditanggung untuk bertahun-tahun.
Jika diberi pilihan menghabiskan RM30,000 untuk sebuah majlis meriah atau menyimpan sebahagiannya bagi membina kehidupan selepas berkahwin, mana satu pilihan bakal pengantin dan mereka yang sudah melalui alam rumah tangga?
“Perlu ikut kemampuan sendiri dan tidak perlu ikut orang lain. Kena utamakan perkara yang wajib dan tidak semestinya menghabiskan semua wang yang ada semata-mata untuk nampak meriah. Kalau buat majlis kecil atau ‘intimate wedding’ pun memadai, tidak perlu bajet besar untuk raikan majlis tersebut.” - Jurutera, Aiman Farhan, 28

“Buat sekadar yang perlu dan lebihkan kepada keperluan hidup selepas berkahwin. Persediaan bukan hanya untuk majlis, tetapi kita kena rancang kewangan dengan teliti supaya kehidupan selepas berkahwin lebih terjamin.” - Penyelia Watsons, Iman Kamilia, 28

“Kalau boleh, simpan separuh untuk majlis dan separuh lagi untuk simpanan. Selepas berkahwin, banyak lagi perkara yang perlu difikirkan. Kos sara hidup juga meningkat, jadi kita kena urus kewangan dengan baik dan mungkin perlu fikirkan juga untuk cari pendapatan sampingan.” - Pentadbir, Fatih Suhaini, 35

“Bajet kenduri bergantung kepada kemampuan diri, kehendak pasangan dan persetujuan keluarga. Kalau ada perkara seperti hantaran tinggi, seeloknya bincang dengan baik dan ada tolak ansur. Banyak perkara yang perlu difikirkan dan dijadikan keutamaan selepas majlis, contohnya beli kelengkapan rumah.” - Pencipta kandungan Majalah RASA, Mifzal Darwish, 23

“Majlis perkahwinan sebaiknya dibuat seringkas mungkin. Jika ada lebihan wang, lebih baik kita gunakan untuk melancong, berbulan madu atau membuat persediaan masa depan. Kalau dibuat secara sederhana, sekitar RM10,000 sahaja pun memadai.” - Penyelia sumber manusia, Vigneswary Krishnan, 39,

“Kadang-kadang kita tengok kenduri sudah jadi seperti persaingan untuk menunjukkan siapa yang lebih hebat. Sedangkan fungsi asalnya adalah untuk memaklumkan kepada umum bahawa kita sudah bernikah.” - Pembantu restoran, Kamal Baharuddin, 52,

“Buat besar atau kecil, orang tetap bercakap. Jadi, lebih baik bersederhana demi kelangsungan hidup. Kemewahan majlis perkahwinan ini terpulang kepada kemampuan setiap keluarga. Kita tidak patut menilai atau menghakimi pasangan berdasarkan saiz atau kemeriahan majlis semata-mata.” - Pesara guru, Raziah Hashim, 71








