PRN Melaka: Bahang politik negeri jiran mampu pengaruhi pola pengundian, kata penganalisis

31 Okt 2026, 12:00 PM
PRN Melaka: Bahang politik negeri jiran mampu pengaruhi pola pengundian, kata penganalisis
PRN Melaka: Bahang politik negeri jiran mampu pengaruhi pola pengundian, kata penganalisis
PRN Melaka: Bahang politik negeri jiran mampu pengaruhi pola pengundian, kata penganalisis

MELAKA, 31 OKT: Perkembangan politik di negeri jiran, khususnya kemelut politik dan istana di Negeri Sembilan, berpotensi mempengaruhi pola pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Felo Penyelidik ILHAM Centre, Mujibu Abd Muis berkata, meskipun kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam pentadbiran Melaka dilihat kukuh, perkembangan politik di luar negeri itu boleh memberi kesan terhadap persepsi pengundi dan membuka ruang kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk meraih sokongan.

Menurutnya, situasi berkenaan tidak seharusnya dipandang enteng kerana boleh menjadi antara penanda aras pengundi dalam menilai parti yang bakal diberikan mandat, sekali gus berpotensi memberi kelebihan kepada HARAPAN.

“Dalam konteks PH untuk menyaingi BN memang cabaran besar tetapi dengan pertambahan pengundi dan faktor politik terkini di Negeri Sembilan dilihat tidak memberi nilai tambah kepada UMNO-BN. Isu-isu lain semua ini mungkin ada kelebihan untuk PH rampas kerusi,” katanya.

Mengulas peluang DAP mempertahankan atau menambah kerusi, Mujibu berkata, meskipun kekuatan parti itu dilihat sedikit merosot dalam beberapa siri pilihan raya, pemilihan calon yang bersesuaian dengan demografi setempat mampu menjadi faktor penentu.

“Walaupun kekuatan DAP ada sedikit merosot menerusi beberapa siri pilihan raya, jika calon itu memang sesuai dengan demografi empat kawasan DUN mungkin tidak akan menjadi masalah.

“Apa yang berlaku di Negeri Sembilan dan Johor, kekuatan DAP itu masih kelihatan utuh termasuk sorotan (walaupun dengan) kekalahan Anthony Loke di Chennah. Namun kita faham di situ berlaku peralihan undi Cina dan konsolidasi undi Melayu yang memenangkan kerusi itu kepada MCA, namun masih terdapat lagi kekuatan di kerusi lain,” ujarnya lagi.

Jentera parti sebelum calon gabungan itu bagi DUN Paya Rumput, Datuk Azman Abidin memasuki Pusat Penamaan Calon di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 31 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Mujibu turut berpandangan PRN Melaka kali ini tidak terlepas daripada kemungkinan berlakunya kejutan yang boleh mengubah corak keputusan, terutama dengan pertambahan jumlah pengundi dan pengaruh golongan muda.

Jelasnya, pertambahan pengundi khususnya dalam kalangan anak muda membuka ruang kepada parti politik untuk merangka pendekatan dan strategi baharu bagi mendapatkan sokongan mereka.

“Saya fikir anak muda mungkin agak ‘swing’ dalam setiap pilihan raya. Apa yang kita saksikan di Johor dan Negeri Sembilan… peralihan mereka itu pergi ke BN jadi cabaran disini adalah bagaimana untuk membina naratif itu agar pengundi ini boleh beralih ke PH,” katanya.

Tambahnya lagi, HARAPAN masih mempunyai beberapa kelebihan untuk bersaing, termasuk penampilan calon berpengalaman dan figura besar, calon baharu berlatarbelakangkan pentadbiran, selain kawasan yang dianggap kubu kuat serta calon generasi Z dengan latar belakang perundangan.

Pada PRN Melaka kali ini, HARAPAN meletakkan 24 calon untuk bertanding, terdiri daripada Amanah dan DAP yang masing-masing bertanding di tujuh kerusi, manakala KEADILAN pula di 10 kerusi. Secara keseluruhan terdapat 28 kerusi DUN dipertandingkan.

Pengundian dijadual berlangsung pada 14 November depan, pengundian awal pula akan berlaku pada 10 November. Mengikut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 687,697 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRN Melaka ke-16 ini. 

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.