AMPANG JAYA, 28 OKT: Keputusan kerjasama Kerajaan Negeri dengan 11 Ahli Dewan Negeri (ADN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor akan diputuskan dalam masa terdekat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu perlu melalui beberapa perbincangan lain sebelum diumumkan.
“Kita tunggu sebab dia ada melibatkan perbincangan lain yang panjang. Insya-Allah kita akan putuskan segera dalam masa terdekat, mungkin sewaktu pilihan raya atau sebelum,” katanya pada majlis makan malam sesi penilaian semula status Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark malam tadi.
Sebelum ini, media melaporkan, ADN Selangor dari Bersatu dijangka mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Negeri dalam masa terdekat bagi menandatangani perjanjian kerjasama.
Sumber dalam parti itu mendedahkan, kerjasama tersebut melibatkan keseluruhan 11 ADN daripada parti berkenaan yang selepas ini akan dianggap sebagai penyokong Kerajaan Negeri.
Perancangan itu katanya, tidak terjejas meskipun pendaftaran Perikatan Nasional (PN) dibatalkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), memandangkan perkara berkenaan hanya melibatkan Bersatu.
Berhubung kenyataan bekas Pengerusi DAP Melaka Damian Yeo yang sanggup meninggalkan politik sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban kepada Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Amirudin berkata semua ahli parti wajar menghormati keputusan tersebut.
Beliau yang merupakan Pengarah Pilihan Raya HARAPAN menjelaskan setiap keputusan yang diputuskan itu telah melalui perbincangan dan melihatnya secara menyeluruh.
“Itu keputusan PH dan telah meletakkan… semua aanggota parti harus wajar menghormati keputusan koalisi atau gabungan parti masing-masing.
“Di PH kita berbincang secara terbuka melihat kepada sebarang kebarangkalian dan kemungkinan,” katanya.







