KUALA LUMPUR, 29 OKT: Polis menahan tiga lelaki dan merampas 376.2 kilogram (kg) sisik tenggiling dianggar bernilai RM376,200 dalam satu operasi bersepadu di sebuah premis di Negeri Sembilan, semalam.
Operasi bermula 12.30 tengah hari itu dijalankan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).
Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman SAC Datuk Mohd Zaki Ashar dalam kenyataan hari ini berkata pemeriksaan di premis berkenaan menemukan 15 kotak mengandungi sisik tenggiling, disyaki berkaitan aktiviti penyimpanan dan pengedaran terbitan hidupan liar dilindungi.
“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut menyita sembilan telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah alat penimbang dan satu unit mangga yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan.
“Nilai keseluruhan sitaan dan rampasan termasuk barangan lain dianggarkan bernilai RM401,700,” katanya.
Mohd Zaki berkata kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Perhilitan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716], berkaitan kesalahan melibatkan hidupan liar atau bahagian dan terbitannya, tertakluk kepada hasil siasatan serta pengesahan pihak berkuasa berkaitan.
“Rampasan berskala besar ini menunjukkan kepentingan tindakan risikan dan penguatkuasaan berterusan bagi membanteras rangkaian yang terlibat dalam penyimpanan, pengumpulan dan pengedaran terbitan hidupan liar,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zaki berkata WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan 288 serbuan di seluruh negara membabitkan pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan hidupan liar, barangan tidak bercukai, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi serta kegiatan berkaitan sisa elektronik bagi tempoh 1 Jan hingga hari ini.
Beliau berkata sebanyak 471 individu ditahan menerusi operasi itu dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM350.35 juta, manakala bagi OBK sepanjang tahun ini sebanyak 66 kes direkodkan dengan 74 tangkapan dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM99.70 juta.
-- BERNAMA







