Kastam rampas sisik tenggiling bernilai RM1.3 juta cuba diseludup ke luar negara

16 Jul 2026, 6:37 AM
Kastam rampas sisik tenggiling bernilai RM1.3 juta cuba diseludup ke luar negara

SANDAKAN, 16 JULAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas 100 kilogram sisik tenggiling dianggarkan bernilai RM1.3 juta di pintu masuk kargo udara di sini pada 6 Julai lepas.

Pengarah JKDM Sabah Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata dalam kejadian 2.30 petang itu, JKDM menemukan lima kotak polistirena masing-masing berisi plastik hitam, yang mengandungi 20 kilogram (kg) sisik tenggiling.

“Siasatan awal mendapati sisik tenggiling itu dibawa dari Kota Kinabalu ke Sandakan menggunakan perkhidmatan bas ekspres sebelum dihantar ke kargo udara, dipercayai cuba dieksport tanpa permit daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah

“Kita mengesyaki sisik tenggiling itu dihantar ke Semenanjung dahulu, dari sana barulah diatur untuk eksport. Kesemua sisik itu dirampas dan tiada tangkapan dilakukan, namun kita masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ahmad Taufik berkata sindiket berkenaan menggunakan taktik mengikrarkan dagangan dalam Borang Kastam Nombor 3 dengan mengisytiharkan barang dagangan lain bagi penghantaran domestik dari Sandakan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Kes disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686), dan sabit kesalahan boleh didenda hingga RM100,000 bagi setiap bahagian haiwan atau penjara hingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Ahmad Taufik berkata JKDM pada bulan lepas merampas sebanyak 95,080 batang rokok seludup serta sebuah kenderaan dianggarkan bernilai RM136,129.56 termasuk cukai, dan merampas 2,645 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM13,939.15.

Sebarang aduan penyeludupan boleh disalurkan dengan menghubungi talian 1800-88-8855 dan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.

-- BERNAMA

TAG:JKDM, sisik tenggiling, seludup, Sandakan, Ahmad Taufik Sulaiman

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.