Habitat musnah, orang utan hilang selepas bencana banjir

9 Dis 2025, 12:01 PM
Habitat musnah, orang utan hilang selepas bencana banjir

SIPIROK, 9 DIS: Sebelum kejadian banjir dan tanah runtuh yang meragut banyak nyawa di Indonesia kira-kira dua minggu lalu, Amran Siagian, 39, sering bertemu orang utan Tapanuli di sebuah bukit di sini, di wilayah Sumatera Utara.

Siagian, yang sudah sekurang-kurangnya lima tahun bekerja sebagai renjer melindungi haiwan terancam itu di Pusat Maklumat Orang Utan (OIC), masih mengingati bagaimana orang utan gemar makan durian dan buah-buahan lain dari kebun penduduk.

Namun selepas kejadian tanah runtuh melanda Sipirok, kelibat haiwan itu langsung tidak kelihatan.

Banjir dan tanah runtuh akibat taufan itu telah meragut 962 nyawa setakat hari ini, manakala 291 lagi dilaporkan hilang. Ribut berkenaan turut mengorbankan kira-kira 200 orang di selatan Thailand dan Malaysia.

“Mereka pasti sudah berpindah, semakin jauh. Saya tidak lagi mendengar suara mereka,” kata Siagian kepada Reuters.

Pemimpin tempatan dan kumpulan pencinta alam berkata aktiviti pembalakan dan perlombongan yang menyebabkan pembasmian hutan telah memburukkan kesan banjir serta tanah runtuh itu.

Di Sipirok, sebuah kampung di daerah Tapanuli Selatan yang antara paling teruk terjejas, pokok-pokok besar kelihatan telah ditebang. Siagian berkata sebuah syarikat melakukan pembalakan di kawasan tersebut sekurang-kurangnya sejak setahun lalu.

Beliau berkata pembasmian hutan itu telah menjejaskan orang utan sejak sebelum banjir lagi.

“Orang utan bergerak dari kanopi ke kanopi, dari dahan ke dahan. Jika hutannya jarang, tentu sukar untuk mereka,” katanya.

Pengasas OIC, Panud Hadisiswoyo, berkata terdapat sekitar 760 orang utan hidup di Tapanuli.

“Ancaman utama adalah kehilangan hutan akibat tanaman komersial dan industri ekstraktif,” katanya.

Secara keseluruhan, sekitar 119,000 orang utan hidup di Indonesia dan Malaysia, menurut Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF).

“Jika tiada bantuan kerajaan, orang utan boleh pupus di sini. Terutama dengan pembasmian hutan yang besar-besaran ini,” kata Siagian.