ad

Cubaan seludup tiga ekor hidupan liar bernilai RM20,000 ke Mumbai gagal

29 Sep 2025, 3:01 AM
Cubaan seludup tiga ekor hidupan liar bernilai RM20,000 ke Mumbai gagal
Cubaan seludup tiga ekor hidupan liar bernilai RM20,000 ke Mumbai gagal

PUTRAJAYA, 29 SEPT: Cubaan menyeludup tiga ekor hidupan liar bernilai RM20,000 ke Mumbai digagalkan dalam operasi penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memaklumkan hasil kerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan polis bantuan KLIA berjaya mengesan lelaki tempatan cuba membawa keluar hidupan liar menggunakan penerbangan Malaysia Airlines MH0194.

"Hasil pemeriksaan ke atas bagasi suspek berusia 46 tahun itu menemukan seekor disyaki ungka dan dua ekor disyaki cuscus yang disembunyikan. Nilai sitaan dianggarkan mencecah RM20,000," menurut kenyataan itu hari ini.

Menurut AKPS, suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Aeropolis untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008 [Akta 686].

Selain itu, AKPS memaklumkan semua barang kes diserahkan ke pejabat Perhilitan KLIA untuk tindakan lanjut.

APKS memaklumkan kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar serta memastikan pintu masuk utama negara tidak dijadikan laluan jenayah rentas sempadan.

- BERNAMA