GHL Geopark: Selangor imbang pembangunan, pemuliharaan warisan alam

28 Okt 2026, 4:07 AM
GHL Geopark: Selangor imbang pembangunan, pemuliharaan warisan alam

AMPANG JAYA, 28 OKT: Pembangunan Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira aspek pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata pemeliharaan khazanah semula jadi perlu menjadi keutamaan agar warisan bernilai tinggi itu terus dilindungi untuk generasi akan datang, seiring kepesatan pembangunan Selangor.

“Pembangunan geopark adalah satu perjalanan yang sangat unik. Ia bukan sekadar mengenai pemeliharaan warisan geologi, tetapi tentang bagaimana mengimbangi pembangunan, pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

“Cabaran untuk melindungi khazanah semula jadi sambil memenuhi tuntutan pembangunan bukanlah sesuatu yang mudah. Pembangunan GHL Geopark digerakkan melalui semangat kerjasama pelbagai pihak serta komuniti setempat yang sentiasa komited dalam memeliharanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Penilaian Semula GHL Geopark 2026 yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di sini, malam tadi.

Tambah Suee Lim, dokumentasi dan penceritaan yang berkesan diperlukan dalam usaha memulihara dan melindungi warisan supaya kepentingannya dapat dihayati masyarakat.

“Dalam terus memperkukuh usaha mempromosikan warisan geopark, pelbagai kerjasama strategik antara Tourism Selangor dengan Canon Marketing Malaysia menerusi Memorandum Kolaborasi (MoC).

“Sesi penilaian semula ini diharap menjadi langkah penting dalam memastikan GHL Geopark terus berkembang sebagai model geopark yang lestari, inklusif dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

GHL Geopark yang diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan pada 2022 meliputi kawasan seluas lebih 112,000 hektar, merangkumi dua Pejabat Daerah dan Tanah, tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) serta 20 geotapak utama.

Kawasan berkenaan menyimpan khazanah geologi, biodiversiti, warisan budaya dan sejarah yang signifikan untuk dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.

Penilaian semula GHL Geopark berlangsung dari 26 hingga 30 Oktober ini sebagai proses berkala setiap empat tahun bagi menentukan kelayakannya mengekalkan status Geopark Kebangsaan.

Proses itu dikendalikan Prof Emeritus Dr Felix Tongkul selaku Ketua Panel Penilai, dengan Madeline George Pau dan Fredolin Javino sebagai pemerhati.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.