ad

Gombak Hulu Langat Geopark berpotensi diiktiraf UNESCO - EXCO Pelancongan

4 Nov 2025, 2:00 PM
Gombak Hulu Langat Geopark berpotensi diiktiraf UNESCO - EXCO Pelancongan
Gombak Hulu Langat Geopark berpotensi diiktiraf UNESCO - EXCO Pelancongan
Gombak Hulu Langat Geopark berpotensi diiktiraf UNESCO - EXCO Pelancongan

KLANG, 4 NOV: Selangor berhasrat menjadikan Gombak Hulu Langat (GHL) Geopark sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) dalam tempoh tiga tahun bagi memperkukuh sektor eko dan geo pelancongan negeri.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata, kawasan geopark itu masih mengekalkan landskap semula jadi dan memiliki kekuatan tersendiri yang menepati kriteria pengiktirafan badan dunia itu.

“Kita memenuhi syarat tetapi perlu tahu kaedah atau prosesnya termasuk mempunyai pakar sejarah dan geologi untuk membuktikan geopark mempunyai kelebihan untuk diiktiraf UNESCO.

“Bagi pengiktirafan ini kita sasar dalam tempoh tiga tahun, tetapi jika awal lagi bagus. Dato’ Menteri Besar akan umumkan strategi dan persediaan dalam belanjawan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis graduasi Hos Komuniti Setempat Selangor bagi daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor di sini, hari ini.

EXCO Perlancongan, Ng Suee Lim berucap ketika Majlis Graduasi Hos Komuniti Setempat Selangor 2025 di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 4 November 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Tahun lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Karnival Gua Damai mengisytiharkan GHL Geopark sebagai geopark kebangsaan pertama di negeri ini, sekali gus menjadikannya geopark ketujuh di Malaysia.

Merangkumi kawasan seluas 112,955 hektar meliputi daerah Gombak dan Hulu Langat, GHL Geopark menampilkan 31 geotapak dengan 20 daripadanya diiktiraf sebagai kawasan eko dan geo pelancongan berikutan keunikan geologi serta keaslian landskapnya.

Malaysia kini mempunyai enam Tapak Warisan Dunia UNESCO yang diiktiraf atas nilai alam semula jadi dan sejarahnya termasuk Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Taman Hutan Selangor (FRIM-FPS).

FRIM secara rasmi diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia semasa Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-47 anjuran UNESCO di Paris, Perancis pada Julai lalu, dipengerusikan oleh Prof Nikolay Nenov dari Bulgaria.

Tapak itu merupakan kawasan pemulihan hutan tropika yang dibangunkan di bekas tapak perlombongan bijih timah dan kini menjadi rujukan penting dalam pemulihan ekosistem global.

Lima lagi Tapak Warisan Dunia UNESCO di Malaysia ialah Taman Kinabalu, Sabah (2000), Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka – merangkumi Melaka dan George Town, Pulau Pinang (2008), Warisan Arkeologi Lembah Lenggong, Perak (2012) dan Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah, Sarawak (2024).