SHAH ALAM, 30 SEPT: Kerajaan Selangor hari ini melancarkan Pelan Strategik Jalan dan Lebuh Raya Selangor 2026-2035 (JALUR Selangor) dengan dana berjumlah RM77 billion bagi memastikan kelancaran pengurusan lalu lintas seiring dengan pembangunan terkini negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 115 cadangan pembinaan jalan dan lebuh raya baharu selain kerja-kerja menaik taraf jalan raya sedia ada serta persimpangan yang telah dikenal pasti di bawah pelan strategik itu.
“Terdapat 115 projek dikenal pasti iaitu 35 pembinaan jalan-jalan baharu, 64 naik taraf naik taraf jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dan 16 persimpangan yang perlu dinaik taraf supaya lebih lancar.
“Anggaran nilaian projek-projek ini RM77 bilion dan semuanya bukan dibiayai kerajaan kerana sebahagian melibatkan lebuh raya dan pastinya konsesi menajanya dan berkaitan negeri menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri.
“Ini dimasukkan rencana dalam tempoh 10 tahun dan jika dapat dilengkapkan paling tidak ia dapat menghubungkan kepada Rancangan Selangor Kedua (RS-2),” katanya pada majlis pelancaran pelan tersebut, di sini, hari ini.
Tambahnya, JALUR Selangor juga adalah rencana penyambungan jalan utama negeri yang mana ia dapat melengkapkan keseluruhan keterhubungan fizikal yang ada di Selangor.
Di bawah pelan strategik itu, 12 zon pembahagian pelaksanaan pelan dikenal pasti di seluruh negeri antaranya Aeropolis 1 (KLIA), Timur 1 (Selayang, Ampang dan Gombak) dan Timur 2 melibatkan Kajang, Semenyih dan Cheras.
Sementara itu, EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata Selangor merupakan negeri pertama menyediakan pelan pembangunan strategik bagi jalan dan lebuh raya untuk jangka masa 10 tahun.
“Sebarang pembangunan infrastruktur, perlu dirancang untuk jangka masa panjang dan sebab itu kita sediakan. Selepas ini akan dilancar pula pelan untuk air yang dijangka siap pada tahun hadapan.
“Pelan ini akan menunjukkan bagaimana keterhubungan jalan dan lebuh raya. Seperti di Saujana Putra, lebuh raya ada tetapi tidak disambung dan menyebabkan kesesakan.
“Ini kita tidak mahu dan sebab itu dilaksana kajian sama ada jalan JKR, persekutuan atau pihak berkuasa tempatan yang mana perlu dibina baharu dan dinaik taraf,” ujarnya.







