JALUR Selangor 2035: Panduan utama pembangunan jalan dan prasarana negeri

16 Dis 2025, 8:54 AM
JALUR Selangor 2035: Panduan utama pembangunan jalan dan prasarana negeri
JALUR Selangor 2035: Panduan utama pembangunan jalan dan prasarana negeri
JALUR Selangor 2035: Panduan utama pembangunan jalan dan prasarana negeri
JALUR Selangor 2035: Panduan utama pembangunan jalan dan prasarana negeri

KUALA LANGAT, 16 DIS: Kajian Pelan Strategik Jalan dan Lebuhraya Selangor 2035 (JALUR Selangor 2035) yang dijangka dibentangkan hujung bulan ini bakal menjadi panduan utama Kerajaan Negeri dalam merangka pembangunan jaringan jalan secara lebih tersusun dan menyeluruh.

EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim berkata dokumen strategik itu berperanan sebagai kerangka induk pembangunan jalan raya, lebuh raya serta prasarana asas negeri bagi memastikan keperluan mobiliti rakyat dan pertumbuhan ekonomi negeri dapat dipenuhi secara mampan.

EXCO Infrastruktur Dato' Ir. Izham Hashim ditemui selepas Majlis Demonstrasi Mesin Turapan Jalan Asphalt, Reuse & Recycling (AsRR) di Tapak Pasar Malam Banting, Kuala Langat pada 16 Disember 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Melalui pembentangan nanti, kita akan menilai sama ada jaringan jalan dan lebuh raya sedia ada mencukupi, di samping mengenal pasti laluan yang masih terputus serta keperluan menaik taraf jalan tertentu.

“Keseluruhan aspek ini akan diteliti secara komprehensif dan hasil kajian boleh digunakan sehingga 2035 bagi membantu kerajaan negeri menentukan hala tuju serta langkah seterusnya dalam pembangunan jaringan jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Demonstrasi Mesin Turapan Jalan Asphalt, Reuse & Recycling (AsRR) di Tapak Pasar Malam Banting, di sini, hari ini.

Demonstrasi turapan jalan menggunakan Mesin Asphalt Reuse & Recycling (AsRR) di Tapak Pasar Malam Banting, Kuala Langat pada 16 Disember 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor Ir Shukri Ishak memaklumkan menerusi Facebook bahawa kajian JALUR Selangor 2035 dilaksanakan sebagai dokumen rujukan kepada semua pemegang taruh di peringkat pihak berkuasa tempatan, negeri dan persekutuan.

Menurutnya, kajian tersebut turut menyokong pembangunan koridor dalam Rancangan Selangor selain menyediakan senarai cadangan projek jalan dan lebuh raya mengikut keutamaan.

“JKR Selangor berharap hasil kajian ini dapat memberi manfaat kepada semua pemegang taruh, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan khususnya ekonomi Selangor,” katanya.