Pengunjung FRIM meningkat selepas terima pengiktirafan UNESCO

16 Jun 2026, 8:44 AM
Pengunjung FRIM meningkat selepas terima pengiktirafan UNESCO

GOMBAK, 16 JUN: Jumlah pengunjung ke Taman Hutan Selangor Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM-FPS) meningkat selepas kawasan hijau itu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, kata Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM, Norwati Muhammad.

Beliau berkata pengiktirafan tersebut berjaya meningkatkan minat orang ramai untuk mengunjungi lokasi berkenaan bagi menikmati khazanah alam semula jadi serta mempelajari usaha pemuliharaan hutan.

“Lawatan ke FRIM dijalankan secara berpandu kerana kami mahu pengunjung memperoleh pengalaman bermakna, di mana pemandu pelancong akan menerangkan mengenai hutan dan pelbagai aspek berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah melawat taman itu sempena program Gagasan Rumpun Selangor (GRS) 2.0 di sini hari ini.

Untuk memasuki kawasan FRIM-FPS, pelawat perlu melalui pintu masuk utama yang dikawal pengawal keselamatan. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Turut hadir Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Anfaal Saari; Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor; ADN Bukit Lanjan, Pua Pei Ling; serta pegawai kanan FRIM.

Norwati berkata lawatan tersebut dan pemilihan FRIM-FPS sebagai salah satu projek angkat GRS 2.0 merupakan peluang terbaik untuk mempromosikan taman berkenaan serta mengetengahkan potensinya sebagai destinasi pelancongan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana memilih FRIM sebagai salah satu lokasi GRS 2.0. Melalui program seperti ini, kami dapat mempromosikan FRIM sebagai Tapak Warisan Dunia dan menunjukkan bahawa usaha menghijaukan kawasan yang terjejas boleh dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia Taman Hutan Selangor (FRIM FPS) menerima pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Foto BERNAMA

Beliau turut memaklumkan pelancong dari China kini merupakan kumpulan pelawat asing terbesar ke lokasi tersebut.

Pada 12 Julai 2025, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengumumkan FRIM-FPS telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO keenam Malaysia semasa Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO ke-47 di Paris.

Tapak Warisan Dunia UNESCO lain di Malaysia ialah Taman Kinabalu di Sabah (2000), Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka: Melaka dan George Town (2008), Warisan Arkeologi Lembah Lenggong di Perak (2012), serta Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah di Sarawak (2024).

Menurut Norwati, kejayaan FRIM membangunkan hutan buatan manusia bagi memulihkan kawasan yang terjejas membuktikan usaha rehabilitasi boleh menjadi aset alam sekitar yang bernilai.

Dalam lawatan itu, Tengku Amir Shah melawat tiga lokasi dan turut menanam anak pokok spesies merawan kanching, yang kini dikategorikan sebagai amat terancam. Spesies tersebut hanya terdapat di Hutan Simpan Kanching di Rawang dengan anggaran sekitar 400 pokok masih wujud.

Orang ramai merasai pengalaman berada di 'Forest Skywalk' juga dikenali Jejantas Rimba Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Foto BERNAMA

“FRIM telah melaksanakan usaha pemuliharaan spesies ini melalui kaedah konservasi ex situ,” katanya, merujuk kepada proses melindungi spesies terancam di luar habitat semula jadinya.

Raja Muda Selangor turut dibawa melawat kawasan tanah lembap burung FRIM-FPS yang menurut Norwati dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan paya bakau, selain menyokong aktiviti komuniti dan sekolah seperti pemerhatian burung.

Selain itu, Baginda turut melawat Denai Aromatica, iaitu laluan alam semula jadi dan herba yang memperkenalkan pengunjung kepada fenomena crown shyness, satu ciri unik ekosistem hutan apabila kanopi pokok tidak bersentuhan antara satu sama lain.

Sementara itu, Norwati berkata Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM300,000 bagi meningkatkan pengalaman pengunjung serta memperkukuh kesedaran terhadap usaha pemuliharaan di FRIM-FPS.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.