PRN Melaka: HARAPAN fokus pertahan kerusi, tawan kawasan baharu

27 Okt 2026, 3:07 PM
PRN Melaka: HARAPAN fokus pertahan kerusi, tawan kawasan baharu

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) meletakkan matlamat mempertahankan kerusi penyandang sedia ada sebagai asas, di samping menyasarkan peluang untuk merampas beberapa kerusi berpotensi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Komunikasinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN petang tadi bagi memperincikan persediaan jentera gabungan itu.

"Kita (HARAPAN) lihat garis asas kita adalah kerusi yang ingin kita kekalkan. Pada masa yang sama, kita sedang mengintai peluang keemasan untuk merampas beberapa kerusi.

“Jadi, sekiranya usaha dan ikhtiar kita dan strategi yang kita manfaatkan kena pada tempatnya, tidak mustahil kita mampu membawa perubahan. Kita sasar, kita realistik, kita faham keadaan tetapi kita lihat ada beberapa perkara yang membolehkan kerusi-kerusi yang kita sasarkan ini untuk berpindah kepada HARAPAN,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Deepavali Parlimen Lembah Pantai di sini malam ini.

Mengenai persiapan jentera, Fahmi berkata Majlis Presiden telah diberi taklimat oleh Pengerusi HARAPAN Melaka Adly Zahari dan Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Adam Adli Abdul Halim berhubung tahap kesiapsiagaan di peringkat negeri.

"Dari segi calon-calon yang telah diumumkan tempoh hari, saya lihat gerak kerja mereka diteruskan dan kita percaya menjelang 31 Oktober nanti, hari penamaan calon, insya-Allah calon-calon daripada HARAPAN bersedia untuk berdepan dengan semua yang akan bertanding dalam PRN Melaka," katanya.

Beliau berkata mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN petang tadi turut mengambil maklum mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan beberapa ikhtiar pelaksanaan reformasi kerajaan.

Bagi kemudahan petugas media sepanjang liputan PRN Melaka, Fahmi berkata sebuah pusat media utama kendalian Jabatan Penerangan akan mula beroperasi pada 30 Oktober hingga 14 November ini di Hotel Mudzaffar, Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.