Kawal emosi, elak terperangkap jerat scammer

28 Okt 2026, 9:00 AM
Kawal emosi, elak terperangkap jerat scammer

SHAH ALAM, 28 OKT: Kerugian akibat penipuan dalam talian atau scam di Selangor mencecah RM986.79 juta pada 2025, dengan sindiket turut memanipulasi emosi mangsa untuk memperdaya mereka.

Pegawai Psikologi, Faridah Abdul Jalil @ Abas berkata taktik itu boleh menyebabkan mangsa bertindak terburu-buru sehingga membuat keputusan yang merugikan diri sendiri.

Beliau berkata ketika berada dalam keadaan panik, otak secara semula jadi lebih memberi tumpuan kepada ancaman dan mencari jalan untuk menyelesaikan atau melepaskan diri daripada masalah yang dihadapi.

Penipu juga menggunakan ‘butang emosi’ seperti takut, harapan dan keterujaan, kasih sayang serta kepercayaan dan desakan untuk mempengaruhi tindakan mangsa.

Manipulasi emosi ini boleh menyebabkan mangsa bertindak secara spontan tanpa sempat berfikir panjang terutama ketika berdepan situasi yang dianggap mendesak atau memerlukan tindakan segera.

Justeru, masyarakat disaran mengamalkan empat langkah mudah apabila berdepan situasi mencurigakan:

Berhenti

Apabila mula merasakan sesuatu yang tidak kena, jangan terus mengikut arahan diberikan. Elakkan memindahkan wang, memberikan kod ‘kata laluan sekali’ (OTP) atau menekan sebarang pautan. Beri arahan kepada diri sendiri untuk berhenti seketika sebelum mengambil sebarang tindakan.

Bertenang

Tarik nafas perlahan beberapa kali, letakkan telefon seketika, bangun dari tempat duduk atau minum air. Beri sedikit masa kepada diri untuk keluar daripada keadaan panik supaya fikiran dapat kembali tenang dan membuat pertimbangan dengan lebih baik.

Semak

Tanya diri sendiri sama ada perkara yang disampaikan itu benar dan masuk akal serta mengapa tindakan berkenaan perlu dilakukan dengan segera. Apabila sudah mula bertenang, perkara yang pada awalnya tidak kelihatan mencurigakan mungkin lebih mudah dikenal pasti sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.

Sahkan

Hubungi sendiri pihak bank, Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau agensi berkaitan melalui saluran rasmi. Jangan gunakan nombor telefon atau pautan yang diberikan oleh individu yang menghubungi kerana ia mungkin sebahagian daripada taktik penipuan.

Faridah berkata empat langkah berkenaan penting untuk memberi ruang kepada individu bertenang, menilai situasi dengan lebih teliti dan berfikir secara rasional sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Selain mendengar apa yang penipu katakan, kita juga perlu peka terhadap perubahan diri sendiri dan menggunakan isyarat kendiri untuk menyedari apabila emosi mula mempengaruhi tindakan kita.

“Belajar mengenali dan mengurus emosi sendiri juga penting bagi membina ketahanan mental terutama apabila keputusan melibatkan wang dan maklumat peribadi,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Pendekatan itu penting dalam usaha memutuskan manipulasi emosi yang digunakan sindiket sekali gus membantu mangsa menyedari keadaan, mengawal tindak balas diri dan mengelak daripada membuat keputusan terburu-buru yang boleh membawa kepada kerugian.

Sebelum ini, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour memaklumkan Selangor merekodkan kerugian tertinggi akibat penipuan dalam talian apabila mangsa kehilangan RM986.79 juta pada 2025.

Jumlah itu hampir satu pertiga daripada keseluruhan RM2.97 bilion kerugian akibat ‘scam’ yang direkodkan di Malaysia pada tahun berkenaan.

Beliau berkata jumlah kerugian di Selangor meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM446.16 juta pada 2024, sekali gus menunjukkan ancaman penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.