Penipuan siber lazimnya dibincangkan berdasarkan jumlah kerugian, kaedah pemindahan wang, jenis akaun yang digunakan atau kelemahan keselamatan yang dieksploitasi oleh penipu.
Pendekatan ini penting, tetapi tumpuan yang terlalu kuat terhadap aspek kewangan dan teknologi boleh menyebabkan satu unsur lain kurang diberikan perhatian, iaitu bahasa yang digunakan sepanjang proses penipuan.
Dalam kebanyakan kes, kehilangan duit bukanlah permulaan penipuan, tetapi hasil daripada suatu proses komunikasi yang telah terjadi lebih awal.
Sebelum mangsa bersetuju untuk membuat pemindahan wang, memberikan maklumat peribadi atau menekan pautan tertentu, penipu terlebih dahulu perlu memperoleh kepercayaan, mewujudkan rasa cemas, membina kedudukan sebagai pihak yang berautoriti atau meyakinkan mangsa bahawa sesuatu tindakan perlu dilakukan segera.
Media Selangor dalam satu laporannya baru-baru ini mengetengahkan pendedahan polis bahawa scammer menggunakan “skrip” tertentu untuk mempengaruhi mangsa.
Penggunaan istilah “skrip” dalam konteks ini menarik untuk diperhatikan kerana hal tersebut menunjukkan bahawa komunikasi penipuan tidak semestinya berlaku secara spontan.
Sebaliknya, sebahagian daripada perbualan itu boleh dirancang dengan tujuan tertentu, termasuk untuk menimbulkan panik, mewujudkan desakan masa dan menghalang mangsa daripada mendapatkan pengesahan pihak lain.
Jika penipu menggunakan skrip, maka isu penipuan siber juga wajar dilihat sebagai masalah bahasa dan komunikasi. Persoalan yang perlu diberikan perhatian bukan sahaja mengapa seseorang mangsa mempercayai penipu, tetapi bagaimana kepercayaan itu dibentuk melalui interaksi yang berlaku antara kedua-dua pihak.
Strategi dan peranan bahasa dalam jenayah penipuan
Bahasa memainkan peranan penting dalam proses tersebut kerana sesuatu ujaran tidak menyampaikan maklumat semata-mata.
Dalam komunikasi, sesuatu ayat boleh digunakan untuk memberikan arahan, membuat ancaman, menawarkan sesuatu, meminta tindakan atau meyakinkan seseorang. Dalam konteks penipuan, fungsi-fungsi ini boleh dimanipulasikan untuk mempengaruhi pertimbangan mangsa.
Sebagai contoh, kenyataan bahawa sebuah akaun bank mempunyai masalah mungkin belum cukup untuk menyebabkan seseorang bertindak.
Namun, apabila maklumat itu disertai dengan arahan supaya tindakan dilakukan “segera”, “sekarang” atau “dalam tempoh 10 minit”, keadaan komunikasi berubah. Unsur masa telah dimasukkan untuk mengehadkan peluang mangsa mempertimbangkan maklumat yang diterima.
Desakan seperti ini penting dalam strategi penipuan kerana proses pengesahan memerlukan masa. Seseorang mungkin mahu menghubungi bank, bertanya kepada ahli keluarga, menyemak nombor telefon atau mendapatkan pandangan pihak lain.
Apabila mangsa diyakinkan bahawa kelewatan akan membawa akibat buruk, ruang untuk melakukan proses semakan tersebut menjadi semakin sempit.
Oleh sebab itu, masyarakat tidak seharusnya hanya memberikan perhatian kepada kandungan sesuatu mesej, tetapi juga kepada cara sesuatu tindakan diminta.
Arahan yang menuntut keputusan segera, khususnya apabila melibatkan wang atau maklumat peribadi, patut menimbulkan keraguan walaupun mesej itu kelihatan profesional.
Satu lagi unsur penting ialah pembinaan autoriti. Penipu sering menggunakan nama institusi, jawatan, nombor rujukan, istilah perundangan atau bahasa rasmi untuk menghasilkan gambaran bahawa mereka mempunyai kedudukan yang sah.
Bahasa seperti “saya pegawai yang mengendalikan kes ini” bukan sekadar memperkenalkan identiti. Pernyataan tersebut turut membentuk hubungan antara pihak yang memberikan arahan dengan pihak yang menerima arahan.
Mangsa mungkin merasakan bahawa mereka sedang berhadapan dengan seseorang yang mempunyai kuasa, pengetahuan atau akses kepada maklumat yang tidak dimiliki oleh orang awam.
Apabila nama polis, bank, mahkamah atau agensi kerajaan digunakan, kesan autoriti itu menjadi lebih besar. Dalam keadaan tertentu, mangsa mungkin kurang cenderung untuk mempersoalkan arahan kerana menganggap tindakan tersebut datang daripada institusi yang sah.
Di sinilah masyarakat perlu membezakan antara penggunaan bahasa yang nampak rasmi dengan kesahihan pihak yang menggunakan bahasa tersebut. Seseorang boleh meniru bentuk komunikasi sebuah institusi tanpa mempunyai sebarang hubungan dengan institusi berkenaan.
Strategi bahasa penipuan juga dapat dilihat melalui usaha mengawal hubungan mangsa dengan orang lain. Arahan seperti “jangan beritahu sesiapa”, “jangan hubungi pihak bank dahulu” atau “perkara ini sulit” mempunyai implikasi yang lebih besar daripada makna literal ayat tersebut.
Arahan sedemikian boleh mengehadkan akses mangsa kepada sumber pengesahan. Semakin terasing seseorang daripada pandangan pihak lain, semakin mudah komunikasi dikawal oleh penipu.
Mangsa tidak mempunyai peluang untuk mendengar penilaian daripada ahli keluarga, rakan, pegawai bank atau individu lain yang mungkin melihat tanda-tanda mencurigakan dengan jelasnya.
Dalam hal ini, pengasingan tidak semestinya berlaku secara fizikal, tetapi juga boleh berlaku melalui bahasa apabila seseorang dipengaruhi supaya tidak berkongsi maklumat atau tidak mendapatkan pandangan kedua.
Corak bahasa bagi penipuan pelaburan pula turut berbeza. Penipu tidak semestinya menggunakan ancaman atau ketakutan. Sebaliknya, mereka boleh menggunakan bahasa yang menonjolkan peluang, keuntungan, kejayaan dan rasa eksklusif.
Ungkapan seperti “peluang terhad”, “ramai sudah mendapat keuntungan” atau “boleh mula dengan jumlah kecil” digunakan untuk mengurangkan keraguan dan membina keyakinan secara berperingkat.
Dalam keadaan tertentu, penipu mungkin membenarkan mangsa menerima pulangan kecil pada peringkat awal kerana pengalaman tersebut mengukuhkan persepsi bahawa skim yang ditawarkan betul-betul berfungsi.
Selepas kepercayaan terbentuk, bentuk pujukan boleh berubah. Mangsa mungkin digalakkan menambah modal, menyertai pakej yang lebih besar atau membuat bayaran tambahan atas alasan tertentu.
Oleh itu, tindakan kewangan yang berlaku pada penghujung proses mungkin didahului oleh siri komunikasi yang bertujuan mengubah penilaian mangsa sedikit demi sedikit.
Jangan salahkan mangsa
Fenomena ini menunjukkan mengapa kita perlu berhati-hati apabila menggunakan penjelasan mudah seperti “mangsa terlalu mudah percaya”. Penjelasan sedemikian tidak banyak membantu kita memahami mekanisme sebenar penipuan.
Persoalan yang lebih penting ialah bagaimana kepercayaan itu dibentuk, apakah bentuk bahasa yang digunakan dan pada tahap mana mangsa mula kehilangan ruang untuk menilai sesuatu maklumat secara bebas.
Pendekatan ini juga mengelakkan kecenderungan menyalahkan mangsa. Tahap pendidikan, pekerjaan atau pengalaman hidup seseorang tidak semestinya menjadikannya kebal daripada penipuan. Individu yang berpendidikan tinggi juga boleh membuat keputusan yang tidak tepat apabila berhadapan dengan tekanan masa, ancaman, rasa takut, harapan memperoleh keuntungan atau komunikasi yang kelihatan datang daripada pihak berautoriti.
Perkembangan kecerdasan buatan menjadikan isu bahasa semakin penting. Teknologi generatif membolehkan mesej dihasilkan dengan struktur yang lebih kemas, tatabahasa yang lebih baik dan gaya bahasa yang boleh disesuaikan mengikut khalayak tertentu. Teknologi pengklonan suara pula boleh menghasilkan bentuk penipuan yang menggunakan suara yang menyerupai individu yang dikenali mangsa.
Keadaan ini bermakna beberapa petunjuk lama yang sering digunakan untuk mengenal pasti penipuan mungkin tidak lagi memadai. Kesalahan ejaan, ayat yang janggal atau bahasa yang nampak tidak profesional tidak boleh lagi dianggap sebagai petunjuk utama bahawa sesuatu mesej itu palsu.
Mesej penipuan pada masa depan mungkin nampak sangat meyakinkan dari sudut bahasa. Oleh itu, literasi masyarakat perlu berkembang daripada mengenal pasti kesalahan luaran kepada memahami fungsi komunikasi yang sedang berlaku.
Antara persoalan yang boleh ditanyakan termasuklah pengirim sedang mendesak penerima membuat keputusan dalam tempoh yang sangat singkat, menggunakan ketakutan untuk mendapatkan kepatuhan, meminta perkara tersebut dirahsiakan, menggunakan nama institusi untuk mengukuhkan autoriti atau menawarkan keuntungan yang terlalu mudah tanpa penjelasan yang munasabah.
Tiada satu ciri bahasa yang boleh digunakan secara bersendirian untuk menentukan bahawa sesuatu komunikasi ialah penipuan. Namun, apabila beberapa ciri muncul secara serentak, keadaan tersebut sepatutnya mendorong seseorang berhenti dan melakukan pengesahan sebelum mengambil tindakan.
Bagaimana kempen pencegahan boleh ditambah baik
Kempen pencegahan penipuan selama ini telah banyak menekankan langkah penting seperti tidak menekan pautan yang mencurigakan, tidak memberikan kata laluan atau nombor OTP, menyemak akaun bank dan mengesahkan identiti pemanggil.
Pendekatan tersebut perlu diteruskan. Pada masa yang sama, usaha pencegahan boleh diperluas dengan memperkenalkan literasi bahasa penipuan siber. Masyarakat perlu dibantu untuk mengenal pasti bukan sahaja objek yang mencurigakan seperti pautan atau akaun bank, tetapi juga pola komunikasi yang bertujuan mempengaruhi keputusan mereka.
Pendekatan seperti ini boleh diperkenalkan melalui pendidikan di sekolah, kempen kesedaran komuniti, latihan kepada pelanggan institusi kewangan dan pembangunan sistem amaran digital yang mengambil kira ciri bahasa dalam sesuatu mesej.
Penipuan siber pada akhirnya bukan hanya persoalan teknologi. Penipuan siber turut melibatkan hubungan antara bahasa, kepercayaan, emosi dan tindakan manusia.
Oleh itu, apabila seseorang kehilangan wang akibat penipuan, kita sebenarnya sedang melihat peringkat akhir daripada suatu proses yang mungkin telah terjadi jauh lebih awal. Scammer telah mencapai kelebihan apabila mereka berjaya mengawal cara mangsa memahami situasi, menilai risiko dan membuat keputusan.
Memahami bahasa yang digunakan dalam proses tersebut boleh menjadi satu lagi lapisan penting dalam usaha memperkukuh perlindungan masyarakat daripada penipuan siber.
*Dr. Muhammad Faizul Abd Hamid ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Bidang pengkhususan beliau meliputi analisis wacana, forensik linguistik dan linguistik gunaan. Penyelidikan semasanya tertumpu pada bahasa penipuan siber, termasuk makna tersurat dan tersirat, gerakan perbualan serta pencetus emosi.







