SHAH ALAM, 5 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memantau penjualan alat mainan jenis span lembut atau ‘squishy’ menerusi operasi pemeriksaan di sekitar Bandar Botanik dan Pulau Indah, Pelabuhan Klang, semalam.
KPDN Selangor memaklumkan hasil pemeriksaan mendapati premis terlibat tidak menjual atau menyimpan mainan span lembut berkenaan untuk tujuan jualan.
“Pengusaha premis turut diminta supaya tidak mendapatkan atau menjual mainan ‘squishy’ daripada pembekal sekiranya barangan berkenaan belum mendapat kelulusan atau memenuhi keperluan pematuhan ditetapkan.
“Mereka juga perlu memastikan setiap barangan mainan yang diperoleh mempunyai dokumen dan kelulusan berkaitan sebelum dipasarkan kepada pengguna,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam operasi sama, KPDN Selangor turut menjalankan pemeriksaan susulan terhadap beberapa aduan diterima daripada orang awam menerusi sistem aduan KPDN, khususnya berkaitan ketiadaan tanda harga pada barangan dijual.
Menurutnya, pemeriksaan dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan setiap premis mematuhi keperluan ditetapkan termasuk aspek pelabelan dan paparan tanda harga pada barangan.
Langkah itu turut membabitkan pemeriksaan terhadap pematuhan peniaga kepada akta serta peraturan berkaitan.
Hasil pemeriksaan menyaksikan empat tindakan kompaun serta-merta dikenakan di tempat kejadian atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan serta Akta Timbang dan Sukat 1972.
Operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan peniaga mematuhi perundangan ditetapkan, khususnya berkaitan pelabelan dan paparan tanda harga.
Pada masa sama, pemeriksaan berkenaan bertujuan melindungi kepentingan pengguna serta memastikan barangan yang dipasarkan mematuhi keperluan ditetapkan.








