ad

Tiga juta rokok seludup dirampas, empat lelaki ditahan

28 Okt 2025, 3:08 PM
Tiga juta rokok seludup dirampas, empat lelaki ditahan
Tiga juta rokok seludup dirampas, empat lelaki ditahan
Tiga juta rokok seludup dirampas, empat lelaki ditahan

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Empat lelaki ditahan dan lebih tiga juta batang rokok tidak bercukai bernilai lebih RM6 juta dirampas dalam Op Taring Alpha 1 di Kepong, Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata serbuan pada 6.50 pagi itu hasil risikan oleh Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) JKDNKA Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

“Serbuan dijalankan selepas menerima maklumat mengenai aktiviti pemunggahan rokok disyaki tidak bercukai dari sebuah lori enam tan ke tiga van, sebuah lori satu tan dan sebuah kereta di kawasan parkir hadapan Kepong Commercial Park,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan ke atas enam kenderaan itu membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan berumur 31 hingga 44 tahun serta rampasan pelbagai barangan termasuk 3,460,000 batang rokok, tiga van, dua lori, sebuah kereta Hyundai Starex dan lapan telefon bimbit pelbagai jenama.

“Jumlah rampasan rokok dianggarkan bernilai RM6,228,000 manakala nilai keseluruhan rampasan dalam operasi ini dianggarkan RM9,526,400,” katanya.

Azmi berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, dan operasi itu dilancarkan bagi mengekang aktiviti perniagaan, penyimpanan serta penjualan rokok tidak bercukai di sekitar Kuala Lumpur.

Beliau berkata kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan pasukan polis dalam membanteras kegiatan penyeludupan serta penjualan barangan tidak berkastam.

“Bagi tempoh 1 Januari hingga 26 Oktober lalu, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan 218 serbuan di seluruh negara, dengan 394 individu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar serta operasi e-sisa.

“Nilai keseluruhan rampasan bagi tempoh itu dianggarkan berjumlah RM690.32 juta,” katanya.

Beliau menegaskan PDRM terus mempergiat risikan serta operasi bagi menjejak dan membanteras kegiatan penyeludupan dengan lebih berkesan dan orang ramai juga digalak menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah ini sepenuhnya.

- BERNAMA