Selangor usaha iktiraf penjagaan tidak bergaji sebagai sektor ekonomi 

17 Okt 2026, 6:41 AM
Selangor usaha iktiraf penjagaan tidak bergaji sebagai sektor ekonomi 
Selangor usaha iktiraf penjagaan tidak bergaji sebagai sektor ekonomi 

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Kerajaan Selangor mempergiat usaha menjadikan aktiviti penjagaan yang dianggap tanggungjawab keluarga tidak bergaji dan tidak formal, sebagai sektor ekonomi yang diiktiraf menerusi latihan profesional, pelaburan dan sokongan lebih baik kepada penjaga.

EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, pengukuhan ekonomi penjagaan penting bagi membolehkan lebih ramai wanita menyertai pasaran pekerjaan, memandangkan mereka lazimnya memikul tanggungjawab utama menjaga anak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Beliau berkata, kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Selangor ialah 70.3 peratus berbanding 89.3 peratus bagi lelaki, manakala wanita juga sering berdepan “penalti keibuan” (maternal penalty) akibat jangkaan masyarakat terhadap peranan mereka sebagai ibu dan penjaga.

“Penjagaan bukan sekadar kebajikan. Ia adalah pemangkin ekonomi,” katanya ketika sesi dialog Rangkaian Penjagaan Selangor (Selangor Care Network /SCN) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

"Semuanya berpunca dengan penjagaan. Kanak-kanak, orang kelainan upaya dan warga emas semuanya memerlukan penjagaan dan kita juga perlu memberi perhatian kepada penjaga itu sendiri, yang kebanyakannya wanita." 

Dilancarkan tahun lalu, SCN menghimpunkan pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, pemain industri dan komuniti bagi membangunkan dasar serta inisiatif berdasarkan keperluan penjaga dan individu yang menerima perkhidmatan penjagaan.

Tambah Anfaal lagi, Selangor mahu beralih daripada melihat penjagaan sebagai tanggungjawab kebajikan sosial semata-mata kepada pembangunan ekosistem yang mengiktiraf sumbangan penjaga terhadap pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Kita tidak boleh hanya bercakap dan terus bercakap. Ia tidak boleh kekal sebagai teori. Kita mesti melaksanakannya dan menterjemahkannya kepada tindakan yang boleh dirasai serta memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Suasana Bengkel Mobiliti Untuk Warga Emas yang menghimpunkan peserta di Petaling Jaya pada 24 Mei 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata, kerajaan negeri turut berhasrat menggalakkan lebih ramai usahawan dalam sektor penjagaan atau carepreneur dengan membuka peluang kepada suri rumah, ibu tunggal dan golongan muda untuk menceburi industri berkenaan.

Antara perancangan termasuk transformasi inisiatif geran pusat jagaan sedia ada kepada program pemerkasaan pusat jagaan, dengan penekanan lebih besar terhadap kualiti perkhidmatan, pematuhan peraturan dan penggunaan teknologi.

Inisiatif latihan penjaga juga akan membantu mereka yang sebelum ini memberikan penjagaan secara tidak formal memperoleh kemahiran praktikal serta laluan untuk menceburi pekerjaan profesional dalam sektor berkenaan.

Anfaal menegaskan, penjaga wajar menerima pengiktirafan profesional dan bayaran setimpal, sambil memberi amaran bahawa gaji rendah boleh mendorong tenaga kerja mahir berhijrah ke luar negara.

“Jika kita mahu mengekalkan bakat, kita mesti menyediakan ekosistem gaji yang bermaruah dan profesion yang dihormati,” katanya.

Inisiatif lain termasuk Selangor Care Navigator bagi membantu isi rumah rentan mendapatkan bantuan, hab kesejahteraan penjagaan rehat (respite care) untuk memberi ruang kepada penjaga keluarga berehat, serta cadangan model Care Block yang diinspirasikan daripada bandar Bogota, Colombia.

Pelajar sekolah dan warga emas menggunakan perkhidmatan bas percuma Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sekitar Petaling Jaya pada 30 Mac 2026. Foto ADIBAH IZAM/MEDIA SELANGOR

Model Care Block mengintegrasikan perkhidmatan komuniti bagi mengurangkan beban penjagaan domestik, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada wanita.

Anfaal berkata, matlamat jangka panjang kerajaan negeri adalah membangunkan ekosistem penjagaan menyeluruh yang meningkatkan kesejahteraan penerima penjagaan, menyokong penjaga dan memperkukuh sumbangan sektor itu kepada ekonomi.

“Kita sedang membina ekosistem. Apabila ia diwujudkan, kita dapat menyediakan platform kepada pemain industri untuk mengembangkan perniagaan serta memastikan ekonomi penjagaan dilihat sebagai sektor ekonomi yang aktif, bukan sekadar bidang kebajikan,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.