Tempoh lampu isyarat Jalan Sungai Long dilaras kurangkan kesesakan

24 Sep 2026, 9:00 AM
Tempoh lampu isyarat Jalan Sungai Long dilaras kurangkan kesesakan

SHAH ALAM, 24 SEPT: Tempoh lampu hijau di persimpangan T Jalan Rakan Cheras yang menghubungkan Jalan Sungai Long dipanjangkan bagi mengurangkan kesesakan sementara menunggu projek pelebaran jalan bermula bulan depan.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Lim Kim Eng berkata pelarasan itu dibuat susulan masalah teknikal lampu isyarat sejak beberapa bulan lalu yang menyebabkan kesesakan teruk di kawasan berkenaan.

Menurutnya, tempoh lampu hijau bagi kenderaan yang keluar dari Jalan Rakan Cheras dipanjangkan daripada 50 saat kepada 70 saat.

Bagi kenderaan dari Jalan Sungai Long yang memasuki Jalan Rakan Cheras dari arah bertentangan pula, tempohnya ditambah daripada 20 saat kepada 40 saat.

“Langkah ini diambil bagi mengurangkan kesesakan buat sementara waktu sebelum projek pelebaran Jalan Rakan Cheras sepanjang 550 meter bermula bulan depan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke lokasi seperti dilapor Star Metro.

Kim Eng berkata projek itu membabitkan pelebaran jalan berkembar sedia ada daripada dua lorong kepada empat lorong.

Menurutnya, projek bernilai RM2 juta yang dibiayai menerusi dana pembangunan MPKj itu diluluskan bulan lalu.

Pada masa sama, beliau meminta individu yang meletakkan halangan atau membina struktur di rizab jalan supaya mengalihkannya segera bagi melancarkan pelaksanaan projek.

Katanya, terdapat struktur termasuk tempat letak kereta berbumbung dan meja yang ditempatkan di kawasan yang akan terlibat dengan kerja pelebaran jalan.

“MPKj akan mengeluarkan notis, tetapi lebih baik sekiranya pemilik mengalihkan sendiri struktur berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Rakan Mohd Zamzuri Abu Othman berkata pelarasan tempoh lampu isyarat sejak awal bulan ini sedikit sebanyak membantu melancarkan aliran trafik.

Bagaimanapun, katanya, kesesakan masih berlaku terutama pada waktu puncak.

“Kami berharap projek pelebaran jalan dapat disiapkan dengan segera,” katanya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.