Sultan: Kemajuan sebenar apabila seluruh rakyat nikmati kekayaan negeri

25 Okt 2026, 6:02 AM
Sultan: Kemajuan sebenar apabila seluruh rakyat nikmati kekayaan negeri
Sultan: Kemajuan sebenar apabila seluruh rakyat nikmati kekayaan negeri

KLANG, 25 OKT: Kemajuan sesebuah negeri bukan sekadar diukur melalui nilai pelaburan atau pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi, sebaliknya sejauh mana kekayaan negeri dapat dinikmati seluruh rakyat.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pembangunan pesat dan kekayaan negeri tidak memberi makna jika masih ada rakyat hidup dalam kesusahan.

“Beta ingin menegaskan bahawa ukuran kemajuan sesebuah negeri bukanlah semata-mata berdasarkan kepada jumlah pelaburan mencecah berbillion ringgit, pembangunan yang pesat membangun atau pencapaian KDNK yang tinggi.

“Apa gunanya sesebuah negeri itu memiliki kekayaan yang besar sekiranya rakyatnya masih hidup di dalam kesusahan. Kemajuan sebenar ialah apabila hasil kekayaan negeri dapat dinikmati dan dikecapi oleh seluruh rakyat.

“Contohnya, sebuah negeri yang maju dan kaya, rakyat terutama golongan yang miskin dan susah seharusnya dapat manfaat dan menikmati kekayaan tersebut,” titah Baginda.

Baginda bertitah dalam Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan di Balairung Seri, Istana Alam Shah hari ini.

Sultan Sharafuddin juga mengingatkan rakyat perlu dibela daripada aspek pendidikan, rumah mampu milik, peluang pekerjaan yang luas serta dapat menikmati alam sekitar yang bersih dan sihat.

“Apa yang penting untuk diberikan penekanan ialah rakyat merasakan bahawa mereka tidak pernah dilupakan oleh kerajaan di dalam mengejar pembangunan yang pesat,” katanya.

Baginda turut bertitah agar Kerajaan Negeri berusaha keras bagi mencapai kejayaan dan kemajuan dalam semua bidang.

“Beta mahu melihat Selangor menjadi sebuah negeri yang terus maju, berdaya saing, tahap pemodenan yang tinggi, rakyat yang berilmu dan cemerlang dan pada masa yang sama tetap menjaga nilai agama, adab dan kemanusiaan,” katanya.

“Beta juga akan terus melaksanakan tanggungjawab Beta untuk memelihara kedudukan agama Islam sebagai agama negeri, serta memastikan agama Islam terus dihormati dan diamalkan oleh umat Islam di negeri Selangor tanpa ada yang mempertikaikannya.

“Pada masa yang sama, Beta menyeru seluruh rakyat Selangor supaya terus hidup dalam keadaan aman, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.