Bendahara Hati: Enggan nama suami dilupakan, Rosnani abadikan karya Jamil Sulong

23 Okt 2026, 7:23 AM
Bendahara Hati: Enggan nama suami dilupakan, Rosnani abadikan karya Jamil Sulong
Bendahara Hati: Enggan nama suami dilupakan, Rosnani abadikan karya Jamil Sulong
Bendahara Hati: Enggan nama suami dilupakan, Rosnani abadikan karya Jamil Sulong

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Hasrat memastikan nama dan karya suaminya terus dikenang mendorong seniwati Datuk Rosnani Jamil menerbitkan buku Kumpulan Puisi Bendahara Hati, yang menghimpunkan hasil penulisan peribadi Allahyarham Datuk Jamil Sulong.

Rosnani, 91, yang mesra disapa Mak Nani berkata penerbitan naskhah itu merupakan antara usahanya untuk memastikan hasil penulisan Allahyarham terus dihargai, sekali gus memelihara legasi seni dan sastera yang ditinggalkannya.

Menurutnya, hasrat itu semakin kuat selepas menemukan pelbagai koleksi tulisan suaminya yang tersimpan di sebuah bilik perpustakaan di rumah mereka selepas pemergian Allahyarham.

Seniwati Datuk Rosnani Jamil berucap ketika majlis "Pelancaran Buku Kumpulan Puisi : Bendahara Hati" dan "Suara Dari Anjung: Dewan Budaya" di Wisma Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 23 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Mungkin kerana terlalu menyayangi dia. Mak tak mahu nama Abang Jamil hilang sebab itulah selagi ada hasil buah tangan dan idea dia Mak akan tetap membuat sesuatu.

“Banyak koleksi tulisan Allahyarham disimpan dalam satu bilik yang kami panggil perpustakaan. Masa beliau masih hidup, Mak tak boleh masuk bilik itu. Jadi apabila Mak kemas bilik itu, Mak jumpa semua karya beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran buku Bendahara Hati bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar, di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Tan Sri Johan Jaaffar menandatangani plak bagi merasmikan majlis "Pelancaran Buku Kumpulan Puisi : Bendahara Hati" dan "Suara Dari Anjung: Dewan Budaya" di Wisma Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 23 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Antara karya yang dimuatkan dalam naskhah itu ialah puisi Senja Semakin Tua, yang dekat di hati Mak Nani kerana mengangkat kehidupan warga emas serta perubahan yang dilalui seiring pertambahan usia.

Puisi berkenaan turut dideklamasikan oleh Sandakiah Aziz, anak perempuan Allahyarham Datuk Aziz Sattar, pada majlis pelancaran itu.

Bagi Mak Nani, bait-bait puisi tersebut bukan sekadar menggambarkan realiti kehidupan pada usia senja, malah membawa pesanan tentang hubungan dengan anak-anak dan keinginan untuk tidak membebankan keluarga.

“Cuba perhatikan, tujuan Allahyarham (tulis sajak itu), kenapa kita panjang umur, misalannya menyusahkan anak-anak. Tetapi beliau tidak menyusahkan anak-anak langsung. Allahyarham baik dan sangat luar biasa,” katanya.

Orang ramai ketika majlis "Pelancaran Buku Kumpulan Puisi : Bendahara Hati" dan "Suara Dari Anjung: Dewan Budaya" di Wisma Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 23 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Jamil Sulong meninggal dunia pada 2014 dan merupakan antara individu terawal yang terlibat dalam Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50), selain menyumbang kepada perkembangan seni dan sastera tanah air.

Allahyarham turut dikenali sebagai pengarah filem menerusi karya seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Si Tanggang dan Raja Bersiong. Beliau juga menghasilkan lirik lagu malar segar termasuk Tiada Kata Secantik Bahasa, Azizah, Merak Kayangan dan Berkorban Apa Sahaja.

Buku Kumpulan Puisi Bendahara Hati setebal 89 halaman menghimpunkan 79 puisi, 19 puisi mini dan 35 koleksi pantun. Naskhah itu dijual pada harga RM30 dan boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi DBP serta kedai Jendela DBP.

Buku Kumpulan Puisi : Bendahara Hati di Wisma Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 23 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.