KUALA LUMPUR, 4 JUN: Generasi Alpha perlu kembali mendekati buku sebagai medium membentuk jati diri dan nilai kehidupan ketika golongan itu semakin terdedah kepada gajet serta peranti digital sejak usia kecil.
Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Azimin Daud berkata buku kanak-kanak, khususnya buku bergambar, mampu menjadi medium berkesan untuk menyemai nilai kasih sayang, menghargai ibu bapa dan membentuk sahsiah generasi muda.
Menurut beliau, kebimbangan terhadap kemerosotan nilai kekeluargaan dalam kalangan generasi muda menjadi antara faktor yang mendorong penghasilan buku Sekotak Pensel Warna, karya kedua beliau dalam kategori buku bergambar kanak-kanak.
“Kanak-kanak generasi Alpha hari ini terdedah kepada peranti elektronik sejak usia sangat awal. Justeru, saya menghasilkan buku kanak-kanak ini sebagai usaha untuk menjentik minat mereka terhadap pembacaan dan memupuk kecintaan terhadap buku sejak kecil.
“Melalui buku ini, saya mahu mendidik mereka supaya lebih menghargai dan menyayangi ibu bapa serta memahami nilai pengorbanan keluarga,” katanya kepada Media Selangor ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.
Azimin yang telah berkhidmat di DBP selama 26 tahun berkata buku yang diinspirasikan daripada kisah benar itu mengangkat tema kasih sayang, pengorbanan ibu bapa dan penghargaan terhadap institusi keluarga.
Beliau berkata buku bergambar mempunyai kelebihan tersendiri kerana mampu menarik perhatian kanak-kanak yang masih belum mahir membaca melalui gabungan teks dan ilustrasi yang saling melengkapi.

“Walaupun gambar ni macam ni, tapi sebenarnya ada perkara yang ingin saya sampaikan kepada pembaca," katanya.
Menurutnya, penggunaan bahasa yang mudah dan dekat dengan kehidupan kanak-kanak turut menjadi aspek penting dalam menghasilkan buku bergambar yang berkesan.
Beliau berkata ibu bapa juga memainkan peranan besar dalam memupuk minat membaca dengan meluangkan masa membaca bersama anak-anak.
“Jadi bila membaca bersama-sama, di situ ada satu nilai kasih sayang yang akan wujud, dia akan bersama-sama.
“Jadikanlah buku bergambar kanak-kanak sebagai pemula untuk memupuk semangat suka membaca," katanya.
Dalam pada itu, Azimin menyeru lebih ramai penulis menghasilkan buku bergambar berkualiti bagi membantu memupuk budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak.
Katanya, buku mengandungi pelbagai ilmu dan perlu dijadikan sebahagian daripada kehidupan anak-anak sejak usia muda.
Karya beliau Sekotak Pensel Warna kini dicalonkan dalam senarai 50 Judul Wajib Dibaca Rakyat Malaysia 2026, dengan keputusan pencalonan dijangka diumumkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tahun ini.









