Pidato Celik Madani perkasa Bahasa Melayu, cungkil bakat kepimpinan murid

22 Sep 2026, 12:00 AM
Pidato Celik Madani perkasa Bahasa Melayu, cungkil bakat kepimpinan murid
Pidato Celik Madani perkasa Bahasa Melayu, cungkil bakat kepimpinan murid
Pidato Celik Madani perkasa Bahasa Melayu, cungkil bakat kepimpinan murid

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Pidato Celik Madani anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi platform untuk memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu, selain mencungkil bakat komunikasi dan kepimpinan dalam kalangan murid.

Program dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) turut memberi ruang kepada generasi muda mengasah kemahiran menyampaikan idea berdasarkan fakta, ilmu dan hujah yang bernas.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Dato’ Dr Anwar Ridhwan berkata penguasaan Bahasa Melayu penting kerana bahasa itu bukan sahaja menjadi bahasa kebangsaan, malah wahana untuk mencari ilmu serta medium penyatuan dan perpaduan rakyat.

“Bahasa Melayu merupakan wahana penting dalam mencari ilmu, selain menjadi bahasa penyatuan dan perpaduan yang wajib dikuasai seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

“Melalui pidato, generasi muda dilatih menyampaikan mesej berasaskan fakta, ilmu serta hujah yang bernas,” katanya ketika temui media selepas majlis perasmian penutup program berkenaan di Wisma DBP Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata kemahiran berpidato juga dapat membantu membentuk sahsiah murid supaya lebih berkeyakinan, selain berpotensi menjadi pemimpin berwawasan pada masa hadapan.

Katanya, pelaksanaan Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan turut menjadi antara usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

“Pidato Celik Madani diharapkan dapat diteruskan sebagai acara berterusan yang memberi manfaat kepada pembangunan murid, khususnya dalam aspek penguasaan bahasa dan kemahiran komunikasi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Pengkaderan YADIM, Mahadi Awang berkata penganjuran tahun kedua program itu membuka peluang kepada murid, khususnya dari sekolah harian biasa, untuk mencungkil bakat terpendam dalam bidang pidato.

“Program ini memberi ruang dan peluang kepada murid untuk mengetengahkan bakat mereka dan kejayaan sampai ke peringkat negeri juga sudah merupakan satu pencapaian.

“Tema ‘Sebarkan Salam Kita Kawan’ pada tahun ini membawa mesej usaha dalam membina masyarakat berilmu dan harmoni,” katanya.

Mahadi berkata juara Pidato Celik Madani daripada 14 negeri seterusnya akan berentap di peringkat kebangsaan pada Oktober ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.