SHAH ALAM, 7 JAN: Di sebalik peranan pengiring perubatan yang sering dianggap sekadar menemani pesakit ke hospital, tugas mereka sebenarnya jauh lebih kompleks daripada membantu pendaftaran atau menolak kerusi roda.
Pengiring perubatan sering berdepan dilema antara keperluan rawatan pesakit, kehendak ahli keluarga serta ketiadaan garis panduan jelas dalam sistem kesihatan.
Dalam situasi inilah mereka memikul tanggungjawab besar yang sering tidak disedari oleh masyarakat.
Seiring persiapan negara menghadapi fasa masyarakat menua dan perubahan struktur keluarga, peranan pengiring perubatan semakin penting, khususnya bagi warga emas yang ke hospital bersendirian kerana anak-anak terikat dengan komitmen kerja.
Keputusan keluarga jadi cabaran utama
Pengiring perubatan, Yee Sook Ping berkata cabaran paling besar dalam tugasnya bukan terletak pada prosedur hospital, sebaliknya keputusan ahli keluarga yang menolak rawatan disyorkan doktor.
Beliau pernah mengiringi seorang warga emas yang dinasihatkan menjalani rawatan penjagaan kaki, namun keluarga menolak atas faktor kos.
Selepas itu, warga emas berkenaan menghubunginya dan bertanya mengapa rawatan tidak diteruskan.
“Beliau sendiri mahu dirawat, tetapi keputusan dibuat oleh keluarga. Situasi ini sangat menyentuh hati dan bukan kes terpencil,” katanya.

Menurut beliau, keadaan itu mencerminkan tahap kesedaran kesihatan warga emas yang masih rendah dalam kalangan masyarakat, termasuk kurangnya pengetahuan mengenai kepentingan rawatan awal dan risiko menangguhkan rawatan.
“Ramai anak tidak tahu ke mana harus bawa ibu bapa untuk pemeriksaan atau tidak faham kesan jika rawatan ditangguhkan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan terdapat keperluan memperkukuh pendidikan awam agar keluarga lebih memahami hak warga emas untuk mendapatkan rawatan serta menghormati kehendak mereka.
Profesion baharu, sering cetus salah faham
Seorang lagi pengiring perubatan, Chin Yoong Kong berkata kurangnya kefahaman terhadap profesion itu sering mencetuskan salah faham dalam urusan rawatan.
Beliau pernah mengiringi seorang wanita bujang berusia 40-an ke hospital, namun kesan lebam pada lengan pesakit menyebabkan doktor mengesyaki keganasan rumah tangga dan beliau hampir disalah anggap sebagai pelaku.
“Mujur pelanggan segera menjelaskan keadaan sebenar. Jika tidak, keadaan mungkin menjadi lebih serius,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman sering disalah anggap sebagai anak kepada warga emas yang diiringinya, sekali gus menggambarkan peranan pengiring perubatan masih belum difahami sepenuhnya dalam sistem kesihatan.
Peneman di saat paling genting
Menurut Sook Ping, terdapat juga situasi kecemasan apabila pesakit tiba-tiba mengalami kemerosotan kesihatan dan memerlukan rawatan segera atau kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Dalam keadaan ahli keluarga tidak dapat hadir tepat pada waktunya, pengiring perubatan perlu menghubungi keluarga, mendapatkan kebenaran serta mengurus urusan pentadbiran bagi memastikan rawatan tidak tertangguh.
Beliau mengimbas pengalaman mengiringi seorang warga emas yang sering mendapatkan khidmat mereka, apabila pesakit itu mengalami kemerosotan mendadak ketika temu janji susulan.
“Mujur kebenaran awal telah diberikan oleh pihak berkaitan. Walaupun pesakit meninggal dunia, sekurang-kurangnya dia tidak bersendirian pada saat akhir,” katanya.
Menurut beliau, peranan pengiring perubatan bukan sekadar menemani pesakit mendapatkan rawatan, malah ada kalanya menjadi individu terakhir yang menemani perjalanan hidup seseorang.

Perlu wujud garis panduan dan pengiktirafan
Sook Ping berkata sehingga hari ini Malaysia masih belum mempunyai garis panduan, piawaian latihan atau pengiktirafan rasmi bagi profesion pengiring perubatan.
Kebanyakan pengamal, katanya, membangunkan prosedur kerja sendiri berasaskan pengalaman lapangan, walaupun tugas ini menuntut tahap kesabaran dan empati yang tinggi, khususnya ketika berdepan warga emas yang menghidap demensia.
Justeru, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan latihan dan pengiktirafan pengiring perubatan sebagai sebahagian daripada dasar ekonomi penjagaan dan penuaan, termasuk di Selangor.
“Peranan pengiring perubatan bukan sekadar menjaga kesihatan fizikal, tetapi juga memberi sokongan emosi serta menjaga maruah warga emas,” katanya.



