KLANG, 28 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menegaskan bahawa masjid dan surau di negeri ini hendaklah kekal sebagai institusi penyatuan ummah serta bebas sepenuhnya daripada sebarang pengaruh dan cengkaman politik kepartian.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menegah mana-mana ahli politik menggunakan masjid atau surau sebagai platform meraih sokongan, menyebarkan agenda peribadi mahupun berselindung di sebalik ceramah agama.
“Masjid bukanlah gelanggang politik, bukan juga medan bagi meraih sokongan serta kepentingan peribadi, jauh sekali tempat untuk menyemai kebencian dan perpecahan.
“Beta sama sekali tidak membenarkan ahli-ahli politik yang cuba berselindung di sebalik ceramah agama dan menggunakan surau serta masjid untuk kepentingan agenda politik masing-masing.
“Malah, Beta juga tidak mahu dengar ada nazir dan ahli jawatankuasa masjid dan surau terlibat secara langsung dalam politik kepartian termasuklah memegang apa-apa jawatan politik. Perkara ini boleh menjejaskan keharmonian ahli kariah setempat,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Watikah Lantikan Nazir dan Imam Masjid-Masjid di Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan bahawa jawatan nazir dan imam bukanlah satu jawatan politik untuk direbutkan demi kepentingan peribadi, sebaliknya merupakan satu amanah besar yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT kelak.
“Beta tidak mahu menerima sebarang aduan berkaitan perebutan jawatan sebagai nazir dan ahli jawatankuasa masjid dan surau. Perebutan jawatan hanya akan menimbulkan perasaan tidak puas hati, permusuhan dan perpecahan dalam kalangan ahli kariah sendiri khususnya umat Islam.
“Beta tidak mahu orang-orang Melayu berpecah-belah hanya kerana gilakan jawatan dan tamakkan kuasa yang akhirnya akan merugikan bangsa Melayu sendiri,” titah Baginda.
Terdahulu, Sultan Selangor berkenan menyampaikan watikah lantikan kepada seramai 850 nazir dan imam masjid seluruh negeri melibatkan sembilan daerah bagi sesi perkhidmatan 2026 hingga 2030.


