SHAH ALAM, 18 OGOS: Polis akan meneliti semua fakta dan melengkapkan siasatan berhubung kes juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia sebelum menentukan tindakan lanjut, termasuk kemungkinan mengekstradisi suspek.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau menerima taklimat berkala mengenai perkembangan siasatan daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan.
“Kita perlu 'establish' semua fakta kes ini terlebih dahulu sebelum menentukan hala tuju seterusnya.
“Hakikatnya, dia ditahan di sana (Indonesia), dan tertakluk kepada undang-undang negara berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini seperti dilapor NST.
Saifuddin berkata keutamaan ketika ini adalah mendapatkan sebanyak mungkin maklumat daripada suspek bagi mengenal pasti corak operasi yang digunakan.
Menurutnya, siasatan juga perlu menentukan sama ada kes itu membabitkan sindiket jenayah terancang atau tindakan individu.
“Kita perlu memastikan sama ada ini sebahagian daripada jenayah terancang atau tindakan individu. Semua fakta itu perlu disahkan sebelum kita memutuskan langkah seterusnya,” katanya.
Pada 28 Julai lalu, juruterbang Malaysia berusia 39 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta selepas pihak berkuasa Indonesia menemui 15 bungkusan mengandungi kira-kira 70,000 kapsul ekstasi dan methamphetamine seberat 25 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM45 juta.
Polis Indonesia sebelum ini mendedahkan suspek dijanjikan bayaran RM50,000 bagi bertindak sebagai penghantar dadah berkenaan.






