AKPS sahkan tidak terbabit pemeriksaan bagasi juruterbang Malaysia

3 Ogos 2026, 2:00 PM
AKPS sahkan tidak terbabit pemeriksaan bagasi juruterbang Malaysia

SHAH ALAM, 3 OGOS: Pemeriksaan bagasi juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana disyaki menyeludup dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikendalikan sepenuhnya oleh Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) di bawah Malaysia Airports, bukannya Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang berada di bawah agensi itu tidak terbabit dalam proses pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas bagasi di lapangan terbang berkenaan.

"Benar, saya sahkan pegawai agensi di bawah AKPS iaitu Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak terbabit dalam proses pemeriksaan melalui mesin pengimbas di KLIA.

"Pemeriksaan melalui mesin pengimbas bagasi ini dikendalikan oleh pihak AVSEC dan seperti yang saya jelaskan dalam sidang media petang tadi, dapatan yang diterima dalam pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang penemuan objek mencurigakan ketika bagasi juruterbang itu melalui mesin pengimbas sebelum dibenarkan menaiki pesawat.

"Dia melalui dan melepasi semua pemeriksaan," katanya seperti dilapor BH.

Bagaimanapun, beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi mengenal pasti bagaimana dadah seberat 26 kilogram berjaya melepasi pemeriksaan mesin pengimbas berteknologi tinggi.

Menurut beliau, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana bimbang boleh menjejaskan siasatan polis.

"Kita sedia maklum pihak berkuasa di Indonesia sudah mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika juruterbang berkenaan ditahan pada malam 28 Julai lalu, namun konsep undang-undang di negara berkenaan dengan Malaysia adalah berbeza," katanya.

Mengulas kemungkinan wujud unsur 'counter setting', beliau berkata perkara itu hanya dapat dipastikan selepas siasatan polis selesai.

"Pada saya, kami di AKPS sudah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dan seperti yang saya jelaskan bahawa pihak kami tidak akan berkompromi dengan sebarang elemen penyeludupan.

"Malah, berdasarkan rekod sebelum ini AKPS turut mengambil tindakan terhadap pegawai yang dikesan terbabit dalam komplot dengan sebarang elemen penyeludupan dan kemasukan warga asing secara salah," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab atau bersekongkol dalam kes berkenaan.

Pada 28 Julai lalu, juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun itu ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta selepas pihak berkuasa Indonesia mendakwa menemukan 15 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dan syabu di dalam bagasinya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.