Juruterbang ditahan di Indonesia dipercayai ambil dadah di Ampang

4 Ogos 2026, 6:54 AM
Juruterbang ditahan di Indonesia dipercayai ambil dadah di Ampang
Juruterbang ditahan di Indonesia dipercayai ambil dadah di Ampang

SHAH ALAM, 4 OGOS: Polis percaya juruterbang yang ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup dadah memperoleh bekalan berkenaan di sebuah pangsapuri di Ampang sebelum berlepas ke Jakarta, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata siasatan mendapati suspek terlebih dahulu mendaftar masuk bagasi yang mengandungi dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau berkata, suspek kemudian kembali ke KLIA pada hari sama sebelum menaiki penerbangan ke Jakarta pada waktu malam, lapor Berita Harian.

"Polis mengesan suspek mengambil bekalan dadah itu di sebuah kawasan pangsapuri di Ampang dan kita juga telah mengenal pasti nombor telefon yang dihubunginya.

"Suspek dipercayai membuat daftar masuk awal bagasi di KLIA sebelum berlepas ke Kota Kinabalu. Selepas itu, dia kembali ke KLIA dan meneruskan penerbangan ke Jakarta pada malam hari," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Hussein berkata, polis kini menyiasat bagaimana bagasi yang mengandungi dadah itu boleh melepasi pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang.

Menurutnya, siasatan tertumpu kepada tiga aspek utama, iaitu sumber bekalan dadah dalam negara, proses bagasi melepasi saringan keselamatan di pintu keluar negara serta kemungkinan penglibatan suspek dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang berpangkalan di Indonesia.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut bekerjasama dengan Polis Negara Indonesia (POLRI) dan Badan Narkotika Nasional Indonesia (BNN) bagi melengkapkan siasatan.

"Kami sedang menunggu kelulusan daripada POLRI untuk menemubual suspek. Sebaik sahaja kelulusan diperoleh, pasukan siasatan akan berlepas ke Indonesia," katanya.

Hussein berkata, rekod polis menunjukkan beberapa kes membabitkan juruterbang sebagai keldai dadah pernah direkodkan sebelum ini, termasuk satu kes penyeludupan dadah ke Australia pada 2012 serta dua lagi kes pada 2017.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.