JKR tambah lorong di Alam Budiman, pembinaan bermula pertengahan 2027

12 Okt 2026, 1:56 AM
JKR tambah lorong di Alam Budiman, pembinaan bermula pertengahan 2027

SHAH ALAM, 12 OKT: Satu lorong tambahan sepanjang kira-kira 300 meter akan dibina di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari (B49) bagi meningkatkan keselamatan dan kelancaran trafik di Persimpangan Alam Budiman.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor memaklumkan kerja awal sedang dilaksanakan, manakala pembinaan fizikal dijangka bermula pertengahan 2027 dengan mengambil kira keperluan perlindungan dan pengalihan utiliti.

Menurutnya, projek dari arah Puncak Alam ke Shah Alam itu turut merangkumi penambahan lampu jalan, naik taraf lampu isyarat dan kerja keselamatan jalan raya.

“Jalan Persiaran Mokhtar Dahari (B49) merupakan jalan negeri yang menghubungkan Puncak Alam ke Shah Alam.

“Kepesatan pembangunan di sepanjang jajaran jalan ini telah menyumbang kepada isu kesesakan dan keselamatan jalan raya,” menurut kenyataan JKR Selangor bertarikh 11 Oktober.

JKR Selangor menjelaskan Persimpangan Alam Budiman dikenal pasti sebagai lokasi berisiko kerana terletak di laluan menuruni bukit menuju ke lampu isyarat.

Menurutnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4 juta bagi kerja meningkatkan keselamatan di laluan itu dari 2023 hingga 2025, termasuk penambahan lorong sementara, papan tanda dan lampu jalan.

Sehingga Oktober tahun ini, sebanyak RM216,000 turut dibelanjakan bagi kerja pembaikan dan penambahbaikan keselamatan.

Bagi penyelesaian jangka panjang, JKR Selangor telah mengemukakan permohonan menaik taraf Jalan Persiaran Mokhtar Dahari kepada empat lorong, termasuk persimpangan utama dari Persimpangan DASH hingga Persimpangan Budiman Valley U15 menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

JKR Selangor turut meneruskan pemantauan trafik dan penyelenggaraan berkala bagi memastikan kemudahan keselamatan jalan raya berada dalam keadaan baik.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik Najwan Halimi berkata beliau sudah mengadakan sesi libat urus bersama JKR berhubung perancangan menaik taraf Jalan Persiaran Mokhtar Dahari.

Menurutnya, JKR telah mengambil tindakan dengan beberapa langkah penyelesaian jangka pendek dan sederhana sedang dalam proses pelaksanaan.

"Saya mengambil maklum keresahan serta cadangan penduduk berhubung keselamatan jalan raya.

"Kita kena juga kena bersifat rasional dimana kadang-kadang kemalangan yang berlaku tak kira di persiaran (Jalan Mokhtar Dahari) atau dimana-mana, kita tidak boleh sepenuhnya menyalahkan kepada infra"

"Di kawasan B49 itu memang ada risiko kemalangan dan di peringkat JKR pun sedang mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Pada 9 Oktober lalu, media melaporkan kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di Persimpangan Alam Budiman.

Insiden tersebut menjadi perhatian selepas rakaman kejadian tular di media sosial dan menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan laluan berkenaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.