Isu keselamatan Persiaran Mokhtar Dahari, JKR Selangor perinci langkah penambahbaikan

1 Nov 2026, 12:36 PM
Isu keselamatan Persiaran Mokhtar Dahari, JKR Selangor perinci langkah penambahbaikan
Isu keselamatan Persiaran Mokhtar Dahari, JKR Selangor perinci langkah penambahbaikan
Isu keselamatan Persiaran Mokhtar Dahari, JKR Selangor perinci langkah penambahbaikan

SHAH ALAM, 1 NOV: Susulan beberapa kejadian kemalangan yang mencetuskan kebimbangan penduduk, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor memperincikan langkah penambahbaikan keselamatan di Persiaran Mokhtar Dahari (B49), termasuk perancangan menaik taraf laluan berkenaan.

JKR Selangor memaklumkan Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM3 juta bagi pembinaan satu lorong tambahan dari arah Puncak Alam menuju Shah Alam yang dijangka bermula pada pertengahan 2027.

Menurutnya, projek jangka sederhana itu turut melibatkan kerja pengalihan utiliti sebagai sebahagian daripada usaha menambah baik laluan berkenaan.

Bagi langkah keselamatan yang telah dilaksanakan, jabatan itu memaklumkan sejumlah RM4.2 juta diluluskan Kerajaan Negeri sepanjang tempoh 2023 hingga Oktober tahun ini.

"Melalui sidang media EXCO Infrastruktur pada 29 Oktober, beberapa tindakan penambahbaikan yang telah dilaksanakan serta perancangan penambahbaikan aspek keselamatan untuk jangka sederhana dan jangka panjang telah dimaklumkan.

"Sebanyak RM4.2 juta sehingga kini peruntukan yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri untuk JKR Selangor bagi melaksanakan penambahbaikan aspek keselamatan dari tahun 2023 sehingga tahun Oktober 2026 seperti penambahan lorong sementara, kerja penambahan papan tanda atau perabot jalan dan pemasangan lampu jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim ketika sidang media berkenaan keselamatan dan penambahbaikan Persiaran Mokhtar Dahari di Pejabat EXCO, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 29 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, bagi penyelesaian jangka panjang, JKR Selangor turut mengemukakan permohonan untuk menaik taraf Persiaran Mokhtar Dahari kepada empat lorong di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

"Untuk perancangan jangka panjang, JKR Selangor telah mengangkat permohonan menaiktaraf Jalan Persiaran Mokhtar Dahari (B49) kepada empat lorong termasuk menaiktaraf persimpangan utama bermula dari Persimpangan DASH sehingga ke Persimpangan Budiman Valley U15 di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2)," katanya.

Selain itu, JKR Selangor menetapkan syarat kepada pemaju pembangunan untuk menaik taraf dua persimpangan, iaitu Persimpangan Persiaran Pulau Lumut/B49 dan Persimpangan Greenhill Residence.

Jabatan itu turut mengambil kira keperluan menaik taraf Persimpangan Alam Budiman dengan cadangan penambahbaikan akan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri berdasarkan data kajian trafik.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (kiri) meninjau projek pelebaran jalan di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam pada 5 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan laporan Buletin Utama TV3 pada 31 Oktober yang mengetengahkan kebimbangan penduduk terhadap isu keselamatan di Persiaran Mokhtar Dahari berikutan kejadian kemalangan yang kerap berlaku.

JKR Selangor menegaskan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di laluan itu terus menjadi keutamaan, selain menasihatkan pengguna supaya sentiasa mematuhi papan tanda jalan raya demi keselamatan bersama.

Terdahulu, Media Selangor melaporkan EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim memaklumkan kerja naik taraf jangka sederhana di laluan berkenaan dijangka bermula pertengahan tahun hadapan selepas urusan pengalihan utiliti selesai.

Menurut Izham, kerja penambahbaikan itu dijangka siap pada tahun sama, merangkumi naik taraf Persimpangan Alam Budiman, penambahan lorong dari Puncak Alam menuju Shah Alam serta penambahbaikan lampu isyarat, lampu jalan dan sistem perparitan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.