SHAH ALAM, 22 OKT: Kerajaan Negeri merancang memperluas pelaksanaan Program Mega Nutrisi Selangor (NutriSel) kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri terbabit.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, program itu dirancang bagi membantu memenuhi keperluan pemakanan calon sepanjang tempoh persediaan menghadapi peperiksaan.
“Program ini dirancang untuk semua calon SPM dan mungkin makanan tengah hari turut disediakan, namun tarikh pelaksanaannya akan diumumkan oleh Dato’ Menteri Besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Munajat Perdana SPM 2026 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Program berkenaan merupakan antara usaha Kerajaan Negeri menyokong kebajikan calon SPM, selain pelbagai inisiatif pendidikan bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar di Selangor.
Pada 5 Oktober lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program NutriSel akan diperluas ke sekolah di seluruh negeri bagi memastikan lebih ramai pelajar berpeluang menikmati makanan berkhasiat.
Beliau memberitahu pihaknya sedang meneliti keperluan peruntukan dan kos bagi memastikan NutriSel diteruskan selain menambah makanan tahan lama seperti susu dan roti.
Di samping pelaksanaan Mega NutriSel, beliau menjelaskan, program NutriSel dua kali seminggu pada Isnin dan Khamis juga diteruskan sehingga awal November melibatkan 104,640 pelajar daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,000 sebulan.










